Kerajaan Peruntuk RM37.6 Juta Untuk Tol Percuma Hari Raya Aidilfitri – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM37.6 juta untuk melaksanakan tol percuma sempena cuti Hari Raya Aidilfitri, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menerusi hantaran di laman X, beliau turut mengingatkan rakyat untuk merancang perjalanan pulang ke kampung di samping memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik.

“Tol percuma pada 8 dan 9 April ini diumum oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta linggi sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Kerajaan Madani membayar RM37.6 juta kepada 33 konsesi tol bagi rakyat mendapat tol percuma tersebut.

“Rancang perjalanan balik kampung anda sebaiknya. Pastikan cukup rehat dan kenderaan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Pada Khamis media melaporkan pengguna lebuh raya membabitkan kenderaan persendirian (Kelas 1) diberi kemudahan tol percuma selama dua hari iaitu 8 dan 9 April bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu bersetuju dengan perkara itu bagi meraikan rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam.

Menurutnya, pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit