Jelajah Akar Umbi SUA Bantu Beri Penjelasan Isu-isu Negara, Terang Dan Diyakini – Azhar

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ke UMNO Bahagian Beruas minggu lalu membawa lembaran baharu terutamanya terhadap kefahaman akar umbi dan ahli parti berkenaan isu-isu semasa.

Ketua bahagiannya, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata ini kerana isu-isu yang dibawa Setiausaha Agung itu sememangnya membelenggu akar umbi selama ini khususnya membabitkan hala tuju UMNO.

“Saya hargai kedatangan Setiausaha Agung sekurang-kurangnya banyak yang faham. Dia datang ke Beruas itu sebenarnya banyak bantu saya, bantu dari segi memberikan penjelasan yang terang dan diyakini kepada mereka.

“Itu yang menyebabkan akar umbi tunggu sampai habis mendengar penjelasannya berkenaan Kerajaan Perpaduan, institusi Presiden, Perdana Menteri, institusi Diraja, kes Datuk Seri Najib dan lain-lain.

“Apa yang di kepala rakyat itulah yang diceritakan, kehadiran hampir 700 orang dewan itu melimpah ke luar. Semua orang menunggu maknanya ucapannya itu sampai ke hati dan jiwa orang Beruas yang menunggu beliau menyampaikan isu-isu tersebut,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata rata-rata daripada akar umbi yang beliau temu meluahkan rasa teruja dengan kehadiran pemimpin pusat dan mereka memaklumkan memahami sebaiknya penerangan yang diberikan oleh Dr Asyraf.

“Segala penjelasan itu ada pembuktian, bukan berbentuk surface tetapi ada roh dan makna. Mereka kata puas hati “macam inilah yang kami nak dengar”. Ada yang kata untung siapa yang datang, ada seorang ketua cawangan berkata “siapa yang pertama kali datang baru mereka tahu sebenarnya inilah perjuangan UMNO”.

“Program besar macam ini pemimpin kena turun, kerana kadang-kadang ketua bahagian cakap itu memang mereka dengar tetapi lebih afdalnya pemimpin pusat turun, sudah semestinya mereka lebih percaya,” ujar beliau.

Bercakap berkenaan landskap politik di Beruas, Azhar memaklumkan, kawasan ini mempunyai cabarannya tersendiri kerana sebagai pemimpin Melayu beliau mempunyai strategi tersendiri untuk membawa perjuangan UMNO ini di kerusi Parlimen yang diduduki Dap.

“Amat berterima kasih kepada Setiausaha Agung yang sudi hadir ke Beruas membantu kami di sini. Parlimen Beruas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Astaka dan Pantai Remis ialah Dap kecuali Pengkalan Baharu (UMNO/BN).

“Jadi saya sebagai ketua bahagian perlu mempunyai karakter yang kuat kepada penyokong, rakyat dan orang Melayu. Kalau lemah macam mana orang hendak ikut? Saya berada di kelompok majoriti kaum Tionghoa jadi saya memimpin ke arah itu,” ujar beliau.

Untuk rekod, Setiausaha Agung dalam jelajah bertemu akar umbi ke bahagian-bahagian seluruh negara untuk diskusi hala tuju parti dan isu-isu semasa. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit