UMNO Realitikan Bersama Rakyat, Tak Banyak Alasan Terus Semarakkan Perjuangan – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 3 Mac – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat mendapat keselesaan dalam apa-apa juga keadaan.

Jelas beliau, usaha UMNO adalah realiti berterusan yang dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan biarpun kerajaan sudah berubah atau pemimpin bahagiannya bukan lagi Ahli Parlimen sebagaimana di Putrajaya.

Katanya UMNO melaksanakan gerak kerja tanpa banyak alasan sedangkan Ahli Parlimen Putrajaya kini lebih banyak menggunakan alasan politik bagi berdamping dengan rakyat misalnya bukan menteri, bukan dari kerajaan pusat dan sebagainya.

“UMNO telah melalui pelbagai cabaran dan mendepani macam-macam keadaan, pernah berkerajaan dan membawa pelbagai kemajuan, kemudian bergelar pembangkang, semi-kerajaan dan kini mendukung Kerajaan Perpaduan namun, apa yang pasti asas dan tujuan parti tidak pernah berubah kerana ia adalah berpaksikan agama, bangsa dan negara.

“UMNO adalah parti yang berkhidmat kepada rakyat dan masih meneruskan khidmat bakti berdasarkan keadaan dan situasi semasa, malah di Putrajaya kita gerakkan usaha dalam pelbagai bidang dari pendidikan, kebajikan, sukan dan sebagainya biarpun kita bukan wakil rakyat tempatan,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Ini kerana katanya, UMNO mahukan kestabilan yang menjadi asas kepada pembentukan negara sejahtera dan rakyat yang selesa.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan pelancaran Program Back To The School UMNO Bahagian Putrajaya yang diadakan di bawah Biro Pendidikan UMNO Putrajaya dengan kerjasama GiatMARA, di sini, semalam.

Dalam hal ini, beliau merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang memberikan sokongan khususnya ahli jawatankuasa UMNO Putrajaya dan orang ramai yang sentiasa bersama-sama menyemarakkan pelaksanaan program berteraskan rakyat.

“Program ini adalah acara tradisi yang telah dilaksana saban tahun apabila menjelangnya sesi persekolahan. Ia adalah bagi meringankan beban ibu bapa selain memastikan anak-anak Putrajaya bersedia untuk kembali ke alam bahari persekolahan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim; Baib Ketuanya merangkap Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Putrajaya, Senator Datuk Hisamudin Yahaya serta barisan kepimpinan jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit