KEB 2024 Agenda Mustahak UMNO… Benteng Utama Pertahan Islam, Bumiputera – Dr Asyraf

PUTRAJAYA, 1 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputra (KEB) 2024 merupakan agenda mustahak UMNO yang menjadi benteng utama mempertahankan Islam dan bumiputera terutamanya ketika berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merakamkan ucapan terima kasih kepada para pemimpin parti kerana meluangkan masa untuk hadir ke KEB 2024 yang diadakan sejak semalam.

“Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang dapat hadir ke KEB. Saya amat menyanjung tinggi dan menghargai kehadiran semua kerana pertama sekali, kongres ini adalah agenda UMNO.

“Ianya bukan agenda biasa-biasa. Seperti yang Presiden sebutkan dalam ucaptama beliau, agenda ini memang diangkat daripada UMNO dan kena kita ingat sejarahnya pada tahun 1964, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) idea ini diketengahkan.

“Tun Razak pada waktu itu mencadangkan supaya KEB diadakan. Pada tahun 1995, KEB yang pertama diadakan hasil daripada saranan UMNO. Selepas hampir 59 tahun, diadakan semula hasil cetusan daripada UMNO juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Minum Petang dan Taklimat Persidangan UMNO Cawangan bagi tahun 2024.

Jelasnya, KEB pada kali ini dianjurkan secara terus oleh Kerajaan Perpaduan dan bukannya badan bukan kerajaan (NGO) seperti sebelum-sebelum ini.

“Pada kali ini ianya bukan lagi dianjurkan oleh NGO-NGO. Kalau dahulu pada tahun 2020 diadakan juga oleh Majlis Perundingan Melayu waktu zaman Datuk Seri Najib… tahun 2010 diadakan bersama PERKASA dan hasil daripadanya telah diwujudkan Unit Peneraju Agneda Bumiputera (TERAJU).

“Saya kira ini adalah agenda yang mustahak dan diambil berat oleh kerajaan kerana kita nak menunjukkan bahawa agenda Islam serta bumiputera ini tidak pernah lenyap dalam kamus perjuangan UMNO.

“Selagi adanya UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, kitalah benteng utama yang akan mempertahankannya. Jadi, sebab itulah kehadiran para pemimpin UMNO setiap peringkat memainkan peranan penting agar agenda ini dapat kita capai bersama,” katanya lagi.

KEB 2024 sedang berlangsung bermula pada Khamis, 29 Februari hingga 2 Mac ini dengan objektif utamanya iaitu pemerkasaan agenda bumiputera dalam sepuluh sektor ekonomi negara.

Ianya menjadi antara agenda penting kerajaan Madani bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi bumiputera secara menyeluruh supaya berkembang maju secara progresif serta inovatif. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit