KEB Untuk Nilai Transformasi Ekonomi Bumiputera, Bukan Ganti DEB – Mohamad

PUTRAJAYA, 29 Feb – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 bertujuan menilai semula transformasi ekonomi bumiputera dengan memperbaik kepincangan dari segi pelaksanaannya dan bukannya untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal ini kerana matlamat utama kongres itu adalah untuk menstruktur semula penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi di negara ini dan memastikan ia dilakukan dengan lebih telus dan terbuka.

“Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) yang diketengahkan sebagai satu dasar bagi mengorak langkah ke hadapan tidak menggantikan DEB.

“Sebaliknya, Kongres ini untuk melihat kejayaan yang telah dicapai termasuklah penubuhan agensi-agensi kerajaan hasil daripada KEB pertama dan kedua serta menilai semula kejayaan, kegagalan dan kelemahan, di mana yang perlu dibaiki,” katanya selepas majlis perasmian KEB 2024 di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan kongres tiga hari itu di Pusat Konvensyen Putrajaya yang antara lain bertujuan mencari hala tuju serta pendekatan baharu dan penambahbaikan agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

KEB 2024 dianjurkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata dasar-dasar memperkasakan ekonomi bumiputera perlu ditransformasikan mengikut perkembangan semasa agar bergerak seiring dengan kepesatan ekonomi dunia dan digital.

Katanya, KEB 2024 merupakan usaha kerajaan menghidupkan semula ekonomi bumiputera sekali gus membesarkan “kek ekonomi negara” agar penstrukturan semula dapat dilakukan secara telus dan terbuka.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, KEB 2024 merupakan persiapan baharu untuk rakyat Malaysia khususnya bumiputera dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang dilihat sedang bergolak dari segi gerakan.

Justeru, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, dasar pendekatan baharu dan resolusi yang diterima nanti memerlukan satu kajian terperinci.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pula berkata, KEB 2024 menekankan transformasi ekonomi bumiputera memandangkan kumpulan itu masih belum mencapai sasaran yang diidamkan walaupun pemerkasaan ekonomi sudah lama menjadi agenda utama.

Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, penyertaan bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi khususnya di Sabah dan Sarawak harus dilipatgandakan, contohnya ekonomi baharu seperti pembangunan hidrogen dan alga sebagai sumber tenaga baharu di Sarawak.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA dilahirkan menerusi KEB pertama pada 1965 perlu diperkukuh dalam memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasa.

Beliau berkata, MARA mempunyai ekosistem yang besar melibatkan pendidikan, pembangunan usahawan dan ekonomi serta pelaburan yang diberi bajet sebanyak RM3.9 bilion setiap tahun, akan memastikan resolusi yang terhasil daripada KEB 2024 dipantau, diselaras dan dinilai agar agenda pemerkasaan bumiputera berjaya.

Sementara itu, pemerhati daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Dr Tricia Yeoh berkata KEB 2024 bersifat inklusif kerana perkembangan ekonomi negara bukan sahaja melibatkan bumiputera, tetapi juga kaum minoriti lain agar ekonomi negara dapat berkembang secara keseluruhan.

“Sebagai badan pemikir, perkembangan ekonomi bumiputera penting memandangkan komuniti itu merupakan majoriti di negara ini. Sekiranya tidak maju dalam pelbagai bidang, bagaimana negara bertumbuh dan pesat membangun?” katanya.

Penasihat Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, saranan Ahmad Zahid untuk memperkasa bumiputera melalui dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera, dilihat mampu memperjelas hala tuju atau pendekatan yang akan diambil kerajaan dalam konteks keadilan sosioekonomi, kemampanan negara bangsa serta kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat, tanpa mengetepikan kaum lain. Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit