Malaysia Terus Perjuangkan Palestin, Jalin Kolaborasi Antara Ops Ihsan Dan Pusat Zakat Al-Azhar

KAHERAH, 27 Feb – Usaha Malaysia untuk terus membela masyarakat Palestin dilaksana dalam pelbagai alternatif sebagaimana delegasi negara yang kini berada di Mesir dengan diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, sekembalinya dari Rafah pada 24 Februari lalu.

Dalam usaha terbabit, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Baitu Az Zakah Wa As Sadaqah (Pusat Zakat) Al-Azhar, Dr. Sahr Nasr di pejabatnya di sini bagi meneroka cadangan kolaborasi antara Ops Ihsan dengan Pusat Zakat Al-Azhar.

Jelas Mohamad, tindakan tersebut dibuat bagi mempercepatkan proses penyaluran semua bentuk bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, termasuklah bahan makanan dan bekalan perubatan.

“Semasa pertemuan tersebut, saya telah memaklumkan bahawa di bawah Ops Ihsan, Malaysia telah berjaya menghantar 100 tan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Kini, Ops Ihsan juga sedang mengusahakan penghantaran 100,000 pek makanan ke Gaza yang buat masa ini disimpan di gudang Ops Ihsan di Qalubiya akibat tempoh giliran untuk memasuki Gaza mengambil masa yang cukup panjang.

“Saya juga turut memaklumkan bahawa Ops Ihsan bercadang untuk mendapatkan perolehan beberapa unit ambulans bagi disumbangkan kepada Bulan Sabit Merah Palestin,” katanya kepada UMNO Online, semalam.

Jelas Mohamad, Dr. Sahr Nasr yang juga Penasihat Kewangan kepada Sheikhul Azhar menyambut baik cadangan kolaborasi yang diusulkan Malaysia.

“Sejak Gaza diserang pada 7 Oktober 2023, Pusat Zakat Al-Azhar telah berjaya menghantar 2,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kerjasama rapat bersama Bulan Sabit Merah Mesir dan Bulan Sabit Merah Palestin. Sehingga kini, Pusat Zakat Al Azhar telah menjalin kerjasama dengan lebih daripada 70 negara.

“Selain sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi rakyat Malaysia terhadap isu Palestin, pertemuan ini berjaya membuka ruang dan potensi kolaborasi dengan institusi Al-Azhar, Mesir yang dilihat amat proaktif dalam menangani isu-isu yang melibatkan dunia Islam,” katanya lagi.

Sebelum mengakhiri pertemuan tersebut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Al-Azhar kerana memberikan layanan baik kepada para pelajar Malaysia yang menuntut di negara terbabit. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit