Ahmad Zahid Penuhi Undangan Duta Mesir, Ops Ihsan Gaza Antara Topik Perbincangan

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkesempatan mengunjungi dan memenuhi jemputan sahabatnya Duta Besar Mesir TYT Ragai Tawfik Said Nasar untuk makan malam bersama di kediaman beliau.

Katanya, kunjungan ini menyerlahkan keakraban hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir.

Menurutnya lagi, ia juga membuka ruang pertukaran pandangan mengenai isu-isu penting serantau dan global, peluang meningkatkan kerjasama ekonomi, kolaborasi pendidikan dan memperkukuhkan hubungan dua hala yang lebih erat.

“Kami juga sempat berbincang mengenai keadaan terkini di Gaza dan perancangan untuk penghantaran bantuan Ops Ihsan yang berikutnya melalui sempadan Rafah seperti yang dijadualkan pada bulan Mac ini.

“Semoga usaha murni ini dipermudahkan dan bantuan sampai kepada saudara-saudara kita yang terkesan akibat daripada konflik peperangan,” kongsinya dalam satu status di laman media sosialnya.

Tambah Ahmad Zahid lagi, sebelum berangkat pulang, beliau sempat bertukar cenderahati kenangan dan menyampaikan setinggi penghargaan atas layanan mesra yang diberikan.

“Berdoa agar ukhwah yang terjalin ini berkekalan serta menatijahkan kebaikan buat kedua negara untuk terus bekerjasama mencipta kejayaan dan memacu kemajuan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit