Kekejaman Zionis Israel: Solidariti Majlis Ulama UMNO Bersama Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Majlis Ulama UMNO Malaysia tetap konsisten menyokong pembebasan rakyat Palestin yang kini sedang berdepan dengan kekejaman rejim Zionis Israel.

Tegas Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad, ia sejajar dengan pendirian Majlis Ulama UMNO Malaysia sebelum ini yang terus bersuara dalam isu kemanusiaan.

“Majlis Ulama UMNO Malaysia bersama kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada rakyat Palestin untuk mengembalikan tanah air yang dirampas oleh Zionis Israel.

“Kita sentiasa berdoa supaya tanah air Palestin dapat dikembalikan semula. Kita juga terus memberi sokongan,” katanya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Cawangan Asia Tenggara Kesatuan Ulama Palestin, Sheikh Ahid Abu Ato’, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO Malaysia, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin dan Pengerusi Organisasi Kebudayaan Palestin di Malaysia.

Dalam pada itu Sheikh Ahid merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Ulama UMNO Malaysia terhadap usaha yang dilakukan dan sokongan mereka terhadap isu yang berkaitan dengan rakyat Palestin dan Masjid Al Aqsa.

“Kami juga merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak kerajaan Malaysia dan rakyat negara ini yang sentiasa bersama-sama mempertahankan isu rakyat Palestin. Hari ini telah melebihi 100 hari kezaliman yang dilakukan oleh Zionis terhadap Palestin dan ianya amat memerlukan kepada solidariti dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada semua pihak.

“Pihak kami telah memberikan sedikit taklimat kepada Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia berkaitan dengan perkembangan terkini di Palestin dan bagaimana dahsyatnya serangan yang dilakukan oleh Zionis terhadap rakyat Palestin.

“…dan kami turut membincangkan berkenaan dengan peranan para ulama khususnya melalui Majlis Ulama UMNO Malaysia untuk bersama-sama berdiri dan menyokong bersolidariti dengan para penduduk Palestin. Kita juga membincangkan tentang kekejaman yang dilakukan oleh negara haram Zionis ke atas rakyat Palestin dan juga polisi-polisi zalim yang diamalkan oleh kerajaan Zionis terhadap Masjid Al Aqsa,” jelas beliau.

Seterusnya kata beliau lagi, pihaknya amat menghargai apa yang dilakukan Majlis Ulama UMNO serta anggotanya terhadap usaha membebaskan rakyat Palestin dari Zionis Israel. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit