Guna Wang Rakyat… Kereta Nasional Ketiga Mampu ‘U-Turn’ Atau ‘Kona Baring’ Tak? – KJ
KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menimbulkan persoalan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung penggunaan dana kerajaan bagi projek kereta nasional ketiga negara.
Persoalan tersebut ditimbulkan rentetan pengumuman Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bahawa kerajaan PH telah meluluskan dana sebanyak RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga tersebut.
“Berapa banyak lagi duit rakyat akan digunakan untuk kereta nasional ketiga?
“Syarikat mana akan menerima duit tersebut?
“Apa ‘business plan’ kereta nasional ketiga?” soalnya menerusi status di Facebooknya.
Ironinya, pada Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan bangganya mengatakan projek ilham Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak akan menggunakan wang rakyat.
Begitu juga Khairy yang sinonim dengan panggilan KJ menimbulkan persoalan apakah implikasi kereta nasional ketiga kepada harga kereta import.
Soalnya lagi, apakah yang terjadi dengan pelaburan RM1.6 trilion dari Qatar yang disebut oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Samad ‘Harapan Coin’?
“Adakah kereta nasional ketiga mempunyai kemampuan untuk melaksanakan ‘U-Turn’ atau sekurang-kurangnya ‘kona baring’?” sinisnya lagi. – MediaUMNO