PRK Kemaman: Keluar Undi Esok, Buat Pilihan Terbaik – Calon BN

CHUKAI, 1 Dis – Pengundi Kemaman digesa menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok, yang akan menjadi penentu kepada kebajikan mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh empat tahun lagi, sebelum Pilihan Raya Umum berikutnya.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan calon Barisan Nasional (PRK) untuk PRK itu berkata setiap undi itu, mempunyai nilai yang sangat penting.

“Buat persiapan sewajarnya kerana mungkin hari esok hujan. Keluar beramai-ramai dan jalankan tanggungjawab mengundi,” katanya ketika ditemui semasa berkempen untuk hari terakhir di Felda Kerteh 5 di sini, hari ini.

Tempoh berkempen bagi PRK itu akan tamat jam 11.59 malam ini, dengan kedua-dua calon iaitu Raja Mohamed Affandi dan lawannya yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS, terus giat melakukan ‘sentuhan akhir’ bagi meraih sokongan pengundi.

Mengulas mengenai perjalanan kempennya, Raja Mohamed Affandi berkata beliau gembira dengan sambutan diterima setiap kali bertemu pengundi.

Beliau percaya majoriti pengundi di Kemaman semakin mengenali dirinya selepas 14 hari berkempen dari waktu Subuh sehingga tengah malam, sekali gus menambah keyakinannya meraih keputusan terbaik, esok.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu turut menganggap ‘bayangan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memberikan ‘tugas penting’ kepada beliau sekiranya menang, merupakan satu bentuk penghargaan terhadap rakyat Kemaman dan membuka ruang untuk beliau berkhidmat dengan lebih baik.

Selain Raja Mohamed Affandi yang mempunyai jadual padat sehingga akhir waktu berkempen tengah malam ini, Ahmad Samsuri dan pimpinan PAS turut dijadualkan mengadakan Ceramah ‘Grand Finale’ pada malam ini sebagai penutup kepada 14 hari aktiviti kempennya.

Esok, seramai 141,382 pengundi berdaftar PRK itu akan menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini.

Selain itu, seramai 387 anggota polis, enam anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara mengundi secara pos, manakala tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera telah mengundi awal di Balai Polis Kijal, 28 November lalu.

Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit