Tangguh Projek HSR: Simpang Jalan Untuk PH U-Turn Selalunya Dekat


KUALA LUMPUR, 6 Jan – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata video-video penerangan rancangan strategik transformasi negara kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu seperti projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) tenggelam sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana propaganda Pakatan Harapan (PH) yang kuat menghasut dan menipu.

Menurut Najib dalam Facebooknya, kerajaan BN dahulu mempunyai Program Transformasi Negara yang begitu teratur, komprehensif dan bervisi jauh untuk negara.

“Projek HSR ini merupakan antara projek-projek transformasi berimpak besar yang terkandung di dalam pelan kita. PH ada apa?

“Kini projek HSR telah ditangguh. PH akan berunding semula dua tahun kemudian, siap membayar ganti rugi RM45 juta kepada Singapura.

“Sebelum ini, HSR dijangka beroperasi pada tahun 2026 tetapi PH kini jangka projek hanya akan siap paling awal pada tahun 2030. Itupun belum tentu kerana persimpangan jalan untuk PH membuat pusingan U selalu berhampiran,” bidas Najib.

Jelas Bekas Menteri Kewangan itu lagi, beberapa bulan dahulu, penyelidik-penyelidik dari negara Jepun menjangkakan bahawa projek HSR dapat menaikkan hasil negara sebanyak RM6.6 bilion setiap tahun.

“Ini bermakna negara telah rugi sekurang-kurangnya RM26.4 bilion kerana penangguhan 4 tahun ini.

“Jika projek ini mahu dilaksanakan semula pada masa depan, kosnya akan lebih tinggi kerana harga barang sudah naik dan semakin naik,” tegasnya.

Walaupun begitu, ujar Najib kerajaan PH berpendirian Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada projek HSR.

“Realitinya, projek infrastruktur seperti HSR ini, membawa pulangan dan manfaat dalam bentuk kenaikan nilai hartanah, kepesatan ekonomi setempat, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan pendapatan tinggi, kemasukan tenaga pakar ke dalam negara dari Singapura serta pelancongan.

“Projek-projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara dari segi kepesatan ekonomi. Kerajaan akan meraih pendapatan daripada cukai yang diperoleh daripada ekonomi yang lebih rancak.

“Manakala, rakyat pula mendapat kemudahan dan peluang pekerjaan kerana dapat berhubung dengan mudah,” tambahnya lagi.

Begitu juga jelasnya berdasarkan kajian impak ekonomi yang dibuat kerajaan BN dahulu, terdapat permintaan yang luar biasa terhadap perjalanan Kuala Lumpur-Singapura dan kerana itulah HSR sebenarnya sangat menguntungkan negara.

“Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI (pendapatan negara kasar) sehingga 2069. Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069.

“Bandar-bandar di sepanjang jajaran HSR seperti Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri yang kurang membangun dan dahagakan pembangunan dan peluang pekerjaan juga telah kerugian,” katanya. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.