Kerajaan PH Digesa Fokus Dan Lebih Serius Tangani Kes Adib


KUALA LUMPUR, 28 Dis – Kerajaan digesa supaya fokus mencari, menahan dan membicarakan mereka yang terlibat dalam kes tragis anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dengan kadar segera demi keadilan undang-undang.

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin berkata isu bantahan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam cara mereka menangani kes terkorbannya nyawa ahli bomba tersebut boleh dinyatakan sebagai usaha yang dijalankan oleh rakyat.

“Rakyat menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih serius untuk membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan dan ia perlu diteruskan dengan penuh komited agar rakyat boleh melihat keadilan dicapai untuk waris dan keluarga Adib,” katanya kepada UMNO-Online.

Tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, kerajaan perlu memberi tumpuan dan fokus tanpa alih pandangan atau ‘without distraction’.

“Ternyata rakyat sedang memerhatikan setiap langkah yang diambil atau yang tidak diambil dan menunggu dengan penuh kesabaran. Namun janganlah pandang ringan terhadap kesabaran yang ditunjukkan.

“Segala langkah yang hanya akan membawa tanggapan usaha mengalih perhatian sedang dijalankan, haruslah dihentikan dan kembali tumpu kepada mencari dan menahan yang bersalah dan menjatuhkan hukuman seadilnya setelah perbicaraan dijalankan.”

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Majistret akan diarah melakukan satu inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib yang meninggal dunia 17 Dis lalu. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79