Belanjawan Johor 2019 : Fokus Tersasar, Inisiatif Bersifat Kosmetik – Khaled Nordin


JOHOR BAHRU, 20 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat fokus Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor nyata tersasar serta inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan pula sangat bersifat kosmetik.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, selepas mengikut secara rapat perbahasan di Dewan Undangan Negeri Johor awal bulan ini dan memperhalusi jawapan-jawapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, hanya satu yang dapat boleh disimpulkan iaitu mereka sangat keliru dan buntu dengan apa yang perlu dilakukan untuk Johor.

“Misalnya, pertama, biarpun ekonomi negeri Johor disasarkan berkembang 5.0-5.5% bagi tahun 2019, tidak pula dibentangkan kaedah strategik dan spesifik bagaimanakah sasaran ini akan dicapai. Tiada lonjakan dan rangsangan baharu yang diperkenal untuk memacu ekonomi Johor.

“Lebih teruk, pembangunan negeri Johor mencatatkan penurunan peruntukan sebanyak 14.3% berbanding yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri 2018 Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Dalam jangkaan ekonomi yang malap dan perlahan pada tahun hadapan, kerajaan negeri sepatutnya meningkatkan pelaburannya untuk projek-projek pembangunan agar dapat memberikan kesan berganda yang merangsang kerancakan ekonomi keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Justeru Khaled berpandangan Belanjawan Johor 2019 yang bertajuk ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan, Bangsa Johor Bestari’ mempamerkan satu hala tuju yang sama sekali bertentangan dengan temanya.

“Malangnya, aspek ini bukan sahaja diabaikan oleh kerajaan negeri, malah projek-projek berskala besar sebelum ini juga tidak diberikan suntikan penambahbaikan yang signifikan. Yang ada, hanya penukaran JSIC (Johor State Investment Centre) kepada Johor Invest.

“Kedua, kerajaan negeri tidak menawarkan sebarang inisiatif konkrit atau pakej menarik pelaburan untuk meneruskan prestasi cemerlang negeri Johor sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia,” tegasnya lagi.

Lebih menyedihkan tambah Khaled, bantuan serta imbuhan kepada para petani, pekebun kecil dan nelayan luar bandar, bukan sahaja tidak bertambah dan berkembang malahan ada yang dihapuskan serta dikurangkan nilainya.

“Nasib peneroka FELDA yang sedang dihimpit kejatuhan harga dan hasil pula sehingga kini tidak terbela atau dipedulikan.

“Ramai sekali ADUN BN telah membangkitkan isu ini berulang-ulang kali. Antaranya ADUN Penawar, Panti, Pasir Raja, Buluh Kasap, Kahang, Layang-layang, Tenggaroh dan ramai lagi.

“Malangnya, perkara ini tidak dibahas dan dijawab pun secara konstruktif dan serius oleh Ahli-ahli DUN Pakatan Harapan, termasuklah oleh YAB Menteri Besar Johor sendiri,” kesalnya.

Jika keadaan ini berterusan, bidas Khaled, masa depan Johor yang sarat dengan potensi pasti menjadi perlahan akibat pentadbirnya yang terlalu berpolitik, hilang fokus dan menyimpan dendam.

“Malah, sehingga kini, isu berkaitan pertembungan Malaysia dengan Singapura tidak sedikit pun diulas dan diuruskan dengan meyakinkan oleh YAB Menteri Besar Johor.

“Beliau harus ingat, Johor mempunyai kepentingannya tersendiri. Kita tidak boleh hanya membiarkan Kerajaan Persekutuan sahaja yang menjadi jurucakap kita tanpa kerajaan negeri memberikan pandangan serta saranan yang sesuai dengan cara Johor,” katanya.

Kesimpulannya, tegas Khaled, cara dan bentuk titik-titik sentuhan Bajet Johor 2019 disusun tidak pun bersifat ‘menerajui perubahan’, sebaliknya hanya mengulang perkara sedia ada dalam Bajet 2016-2018 serta Manifesto BN Johor 2018.

“Ia tidak pun ‘menggalas harapan’, tetapi memusnah impian dan jangkaan, kerana tatkala kita semua mengharapkan lebih banyak bantuan, program pro rakyat dan insentif yang menarik, kerajaan negeri sebaliknya memotong dan membatalkan lebih banyak bantuan.

“Ia juga tidak membuka ruang kepada pembentukan ‘Bangsa Johor Lestari’ kerana terlalu memfokuskan kepada perkara bersifat kosmetik dan bukannya pembentukan masyarakat berdasarkan pemikiran dan sikap yang unggul,” ujarnya. – Media UMNO

Berikut Kenyataan Penuh
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

1. Belanjawan Johor 2019 Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang bertajuk “Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan, Bangsa Johor Bestari” mempamerkan satu hala tuju yang sama sekali bertentangan dengan temanya.

2. Selepas mengikut secara rapat perbahasan di Dewan Undangan Negeri Johor awal bulan ini dan memperhalusi jawapan-jawapan daripada ADUN Kerajaan Pakatan Harapan Johor, hanya satu yang dapat saya simpulkan. Mereka sangat keliru dan buntu dengan apa yang perlu dilakukan untuk Johor.

3. Fokus Kerajaan Negeri nyata tersasar. Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan pula sangat bersifat kosmetik.

4. Misalnya, pertama, biarpun ekonomi negeri Johor disasarkan berkembang 5.0-5.5% bagi tahun 2019, tidak pula dibentangkan kaedah strategik dan spesifik bagaimanakah sasaran ini akan dicapai. Tiada lonjakan dan rangsangan baharu yang diperkenal untuk memacu ekonomi Johor.

5. Lebih teruk, Pembangunan negeri Johor mencatatkan penurunan peruntukan sebanyak 14.3% berbanding yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri 2018 Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

6. Dalam jangkaan ekonomi yang malap dan perlahan pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri sepatutnya meningkatkan pelaburannya untuk projek- projek pembangunan agar dapat memberikan kesan berganda yang merangsang kerancakan ekonomi keseluruhannya.

7. Malangnya, aspek ini bukan sahaja diabaikan oleh Kerajaan Negeri, malah projek-projek berskala besar sebelum ini juga tidak diberikan suntikan penambahbaikan yang signifikan. Yang ada, hanya penukaran JSIC kepada Johor Invest.

8. Kedua, Kerajaan Negeri tidak menawarkan sebarang inisiatif konkrit atau pakej menarik pelaburan untuk meneruskan prestasi cemerlang negeri Johor sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia.

9. Untuk rekod, pada tahun 2016, Johor mencatatkan jumlah pelaburan langsung diluluskan terbesar dalam sektor pembuatan mencakupi 45.2% daripada keseluruhan negara. Jumlah ini adalah 3 kali ganda jumlah di Selangor, yang menduduki tahap kedua dan 6 kali jumlah di Pulau Pinang. Rekod yang cemerlang juga dicatatkan pada tahun lalu.

10. Jadi, ukuran kegagalan/kejayaan terbesar kepada Kerajaan Negeri pastinya apabila MIDA mengeluarkan laporannya kelak. Kita tunggulah laporan suku pertama dan kedua nanti dan lihat sama ada Johor akan kekal sebagai destinasi FDI tertinggi di Malaysia atau tidak.

11. Ketiga, Pelan Hala Tuju Strategik Desa Johor, yang merupakan jelmaan semula Pelan Rejuvenasi Desa, turut diperkenalkan. Asasnya baik. Fokusnya juga kena.

12. Malangnya, titik fokus ini tidak memperincikan bagaimanakah kehidupan luar bandar akan diperkasakan. Daya saing orang muda luar bandar, kelangsungan ekonomi mereka, jaringan infrastruktur luar bandar, kesemua ini terlalu samar dan tidak jelas.

13. Malah, tiada sebarang inisiatif dan peruntukan spesifik untuk memartabatkan tahap pendidikan dalam kalangan pelajar luar bandar bagi merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

14. Tiada juga inisiatif khusus untuk memperluaskan perkhidmatan Johor WIFI terutamanya di kawasan luar bandar.

15. Yang peliknya, pada masa yang sama, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Digital Johor. Adakah ini bermakna, Kerajaan Negeri akan membiarkan masyarakat luar bandar Johor ketinggalan dalam merebut peluang untuk menyertai dan terlibat dalam ekonomi digital?

16. Lebih menyedihkan, bantuan serta imbuhan kepada para petani dan pekebun kecil dan nelayan luar bandar, bukan sahaja tidak bertambah dan berkembang. Sebaliknya, ada yang dihapuskan dan dikurangkan nilainya. Nasib peneroka FELDA yang sedang dihimpit kejatuhan harga dan hasil pula sehingga kini tidak terbela atau dipedulikan.

17. Ramai sekali ADUN BN telah membangkitkan isu ini berulang-ulang kali. Antaranya ADUN Penawar, Panti, Pasir Raja, Buluh Kasap, Kahang, Layang-layang, Tenggaroh dan ramai lagi.

18. Malangnya, perkara ini tidak dibahas dan dijawab pun secara konstruktif dan serius oleh Ahli-ahli DUN Pakatan Harapan, termasuklah oleh YAB Menteri Besar Johor sendiri.

19. Jika keadaan ini berterusan, masa depan Johor yang sarat dengan potensi pasti menjadi perlahan akibat pentadbirnya yang terlalu berpolitik, hilang fokus dan menyimpan dendam.

20. Malah, sehingga kini, isu berkaitan pertembungan Malaysia dengan Singapura tidak sedikit pun diulas dan diuruskan dengan meyakinkan oleh YAB Menteri Besar Johor.

21. Beliau harus ingat, Johor mempunyai kepentingannya tersendiri. Kita tidak boleh hanya membiarkan Kerajaan Persekutuan sahaja yang menjadi jurucakap kita tanpa Kerajaan Negeri memberikan pandangan serta saranan yang sesuai dengan cara Johor.

22. Kesimpulannya, cara dan bentuk titik-titik sentuhan Bajet Johor 2019 disusun tidak pun bersifat ‘menerajui perubahan’, sebaliknya hanya mengulang perkara sedia ada dalam Bajet 2016-2018 serta Manifesto BN Johor 2018.

23. Ia tidak pun ‘menggalas harapan’, tetapi memusnah impian dan jangkaan, kerana tatkala kita semua mengharapkan lebih banyak bantuan, program pro rakyat dan insentif yang menarik, Kerajaan Negeri sebaliknya memotong dan membatalkan lebih banyak bantuan.

24. Ia juga tidak membuka ruang kepada pembentukan ‘Bangsa Johor Lestari’ kerana terlalu memfokuskan kepada perkara bersifat kosmetik dan bukannya pembentukan masyarakat berdasarkan pemikiran dan sikap yang unggul.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.