Belasungkawa : Kematian Adib Perlu Disiasat Dengan Serius, Telus dan Segera

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Hari ini seluruh negara berasa sedih dan pilu dengan berita pemergian anggota bomba Mohammad Adib Mohd Kassim yang akhirnya pulang menghadap Pencipta setelah tiga minggu bertarung kerana kecederaan parah akibat dipukul semasa menjalankan tugas.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merakamkan sedalam-dalamnya belangsukawa dan berharap agar kes kematian Allahyarham disiasat dengan serius, telus dan segera.

“UMNO Malaysia dan saya secara peribadi mengirimkan sedalam-dalam belasungkawa kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga semuanya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam berhadapan dengan waktu yang sukar ini. Kita semua harus memberikan ruang dan masa kepada ahli keluarga Allahyarham dan memastikan tidak menyinggung atau mengganggu mereka.

“Pihak Polis DiRaja Malaysia telah mengklasifikasikan kematian Allahyarham sebagai kes bunuh. Justeru, UMNO Malaysia menegas dan menggesa agar kes ini disiasat dengan serius, telus dan segera.

“Mereka yang terlibat dalam kes ini mesti dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada pasukan perubatan dan seluruh kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) serta semua pihak yang telah berikhtiar dan membantu selama ini.

“Sesungguhnya, pengorbanan anggota keselamatan negara semasa menjalankan tugas kepada negara adalah satu sumbangan besar yang tidak ada nilai dan taranya.

“Semoga Allahyarham diampunkan segala kekurangannya dan ditempatkan bersama-sama orang beriman yang diredhai Allah SWT,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.