Kerjasama BN-PH Semakin Kukuh, Kita Perlu Terus Konsisten Yakinkan Rakyat – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Para pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu terus konsisten untuk meyakinkan rakyat mengenai kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) yang semakin kukuh.

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ramai khuatir akan masa depan kerjasama ini khususnya terhadap sokongan orang Melayu yang dilihat belum bersedia untuk menerima sepenuhnya.

“Setakat ini alhamdulilah saya nampak semakin hari, semakin kukuh kerjasama ini. Ramai juga khuatir dengan masa depan kerjasama ini contohnya keputusan pilihan raya di enam buah negeri dan di Johor, ramai risau tengok angka sokongan orang Melayu khususnya yang nampaknya begitu bersedia untuk menerima kerjasama baharu.

“Kita tidak boleh nafikan sebab kalau untuk UMNO, sebenarnya ianya sebahagian daripada kejayaan kami juga. 58 tahun kami mendoktrinasi orang Melayu supaya menentang Dap contohnya. Misalnya, apa yang kami perkatakan tentang musuh kita pada ketika itu tidak terpahat di minda orang Melayu, maknanya propaganda kita selama ini gagal.

“Tetapi disebabkan kejayaan kita yang luar biasa itu, sekarang apabila tiba-tiba ditakdirkan oleh Allah SWT, kita terpaksa bergabung maka kita kena mengatasi masalah itu. Bagi saya juga, kita tidak boleh kata kita gagal sebab 58 tahun kita menentang Dap umpamanya, saya nampak sekarang ini halangan utama UMNO khususnya orang Melayu untuk menerima kerjasama antara BN-PH lebih kepada kerjasama bersama Dap,” katanya menerusi hantaran video di laman Twitternya.

Menurutnya, dalam tempoh lapan bulan sahaja parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu untuk meyakinkan 40 sehingga 50 peratus rakyat mengenai kerjasama yang terjalin.

“Saya nampak, kita juga berjaya dalam tempoh 58 tahun kita berperang dengan memberikan persepsi yang buruk kepada Dap. Tetapi, hanya dalam tempoh lapan bulan, bagi saya pencapaian ada yang kata 40 peratus, 50 peratus, ‘for me that’s good enough’. Dalam tempoh lapan bulan kita boleh yakinkan orang untuk ubah ‘mind set’ mereka, propaganda yang kita mainkan selama 58 tahun dapat kita selesaikan sebahagian daripadanya. Bagi saya ini juga satu kejayaan dan saya nampak potensinya.

“Kita ada empat tahun dua bulan. Masakan dalam tempoh ini kita tidak boleh yakinkan lagi 30 atau 40 peratus? Jadi, potensi itu ada dan saya nampak kita tak nafikan juga kebanyakan yang takut dengan Dap ini ialah akibat daripada pengalaman mereka bersama dengan Kerajaan PH selama 22 bulan di bawah pemerintahan Tun Mahathir.

“Kita tahu Tun Mahathir ini seorang ahli politik yang licik. Untuk dia mengelakkan daripada menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar, dia cuba untuk pastikan imej Dap ini begitu buruk, disamping membantu untuk memburukkan keadaan sehinggakan orang Melayu betul-betul takut dan ada stigma di bawah 22 tahun pemerintahan beliau,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak para pemimpin parti untuk sentiasa menyantuni rakyat dan memberikan penjelasan mengenai kerjasama yang dimaterai semata-mata demi rakyat dan negara.

“Jadi yang orang Melayu takutkan ini ialah Dap ketika bersama Mahathir, PPBM dan Pas kerana kita tidak boleh nafikan ada ketelanjuran kata-kata serta perbuatan menyebabkan orang Melayu berkecil hati, Islam diperlekeh… raja diperkotak-katik. Namun, UMNO sebenarnya bernasib baik kerana kita bekerjasama dengan PH selepas Dap melalui proses belajar dari kesilapan.

“Harapan saya supaya selepas ini kepimpinan BN-PH dan semua parti komponen kita turun ke bawah secara agresif. Jangan tunggu pilihan raya baru nak turun ke bawah. Kita kena menyantuni rakyat daripada sekarang. Kita kena ‘explain’ dengan rakyat kenapa kita kena bersama dalam satu acuan, pentadbiran, ‘coalition’ baharu.

“Kalau kita boleh konsisten turun ke bawah bersama dan kita nampakkan tidak ada rasa janggal di antara kita maka ahli di bawah pun tidak akan janggal lagi. Mereka boleh bersama. Tetapi, kalau ada jurang dan ianya tidak diatasi dalam tempoh satu hingga dua tahun ini, kita akan berhadapan dengan kesukaran untuk meyakinkan orang Melayu khususnya bagi menerima kerjasama ini. Jadi harapan saya buatlah yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit