Lawan Idea Dan Hujah Untuk Bantu Rakyat, Bukan Fatwa Haram Sana Sini – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak kenyataan pemimpin utama pembangkang yang berkata haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perkara tersebut adalah suatu tindakan tidak wajar dilakukan sebaliknya mereka perlu memanfaatkan masa berkempen ini berlawan dengan idea dan hujah yang bernas.

“Berlawanlah dengan idea dan hujah yang boleh membantu rakyat, bukan dengan haram sana sini.

“Kita faham musim pilihan raya masing-masing sibuk berkempen untuk kemenangan pasukan.

“… tetapi janganlah sampai mempergunakan hukum fatwa sebegini. Dulu masa kawan jadi halal, bila lawan jadi haram pula,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin malah berkata ianya berbeza dengan pendekatan politik matang yang dibawa Barisan Nasional (BN) apabila tidak membawa agenda pemikiran sempit kepada rakyat.

“Masa untuk kita membawa politik matang dan membina, bukan menghancurkan pemikiran rakyat.

”Parti digunakan untuk mempertahankan agama, bukan agama digunakan untuk mempertahankan parti politik,” ujar beliau.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada siri ceramahnya bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai mengeluarkan fatwa bahawa haram mengundi calon PH, Suhaizan Kayat.

Perkara tersebut turut sama mendapat respon daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata fatwa politik dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu semata-mata untuk kepentingan politik, dan berpandangan rakyat di Pulai matang dalam menilai propaganda muslihat yang dilakukan pembangkang. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit