Kuasa Nujum Tun M Patut Guna Di Langkawi, Bukan Johor – Shahrir

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan masa depan UMNO Johor.

Menyindir bekas Perdana Menteri itu sebagai mempunyai kuasa nujum, beliau berkata Tun Mahathir sepatutnya menilik dirinya terlebih dahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Hebat betul ‘aura’ Sanusi! Hebat juga kuasa nujum Tun Mahathir. Di PRU15, ‘aura’ itu juga yang buat Tun Mahathir kalah teruk di Langkawi.

“Dah rasa, dah tahu. Tapi tidak dapat ditelek nasib sendiri sehingga hilang wang cagaran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Respon diberikan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu ekoran kenyataan Tun Mahathir yang bersetuju dengan Muhammad Sanusi berkenaan Perikatan Nasional di Johor.

Kata beliau, Tun Mahathir tidak sepatutnya mengaitkan masa depan UMNO dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Jelas beliau ini kerana dua PRK tersebut tidak membabitkan penyertaan calon daripada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Marah betul Tun Mahathir kepada UMNO sehingga harapkan ‘aura’ Sanusi untuk ‘kubur’kan UMNO di Johor dalam dua PRK September ini.

“Walaupun bukan calon UMNO yang bertanding tapi pukulan ‘aura’ itu dijangka sampai UMNO pula ‘terkubur’. Hebat betul UMNO!” sindir beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit