Duta Khas Bertaraf Menteri Hanya Jumpa Duta Dan Buat ‘Crowdfunding’ Selama Dua Tahun? – Hairi Md Shah

JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hairi Md Shah mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika dilantik sebagai Duta Khas bertaraf Menteri selama dua tahun.

Ini kerana katanya, ramai yang turut mempersoalkan apakah peranan dan tugas yang dilaksanakan beliau sepanjang menjawat jawatan tersebut.

“Umum ketahui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah pada 2 April 2020 dan memegang jawatan itu selama lebih dua tahun sehinggalah Parlimen Malaysia dibubarkan pada 10 Oktober 2022.

“Dalam tempoh beliau memegang jawatan itu, sememangnya bertalu-talu serangan dan persoalan diajukan kepada beliau serta juga kerajaan ketika itu mengenai signifikan atau apa relevannya pelantikan beliau dalam membantu pentadbiran kerajaan.

“Tidak kurang daripada itu juga, ramai yang mempersoalkan apa peranan dan tugas yang beliau laksanakan sepanjang menjawat jawatan bertaraf Menteri itu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, sebuah Kad Laporan Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah telah keluar namun ianya tidak mendapat sambutan malah terus mendapat kecaman.

“Akhirnya, selepas desakan demi desakan, keluarlah sebuah Kad Laporan Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang kononnya mahu menjawab segala serangan dan tohmahan.

“Apa yang menyedihkan, laporan berkenaan tidaklah mendapat sambutan, malah terus mendapat kecaman oleh netizen, hanya ahli Pas sahaja yang dilihat menyumbang komen-komen positif.

“Persoalan yang sama juga terlintas di benak fikiran saya, lebih dua tahun menjawat jawatan Duta Khas bertaraf Menteri, tetapi dalam kad laporan hanya penuh dengan gambar perjumpaan bersama duta-duta luar selain melancarkan tabung ‘crowdfunding’,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu turut berkata, tidak ada satu pun dasar yang diumumkan atau diwujudkan selama beliau memegang jawatan tersebut.

“Inikah ‘level’ bertaraf Menteri? Sekadar menyusun temujanji bertemu duta-duta? Melancarkan tabung mengutip sumbangan? Atau hanya menyediakan kertas cadangan serta syor kepada kerajaan?

“Kalau dilihat pada perjuangan parti beliau, berdegar-degar laungan ahli parti mereka memperjuangkan Islam dan mahu mendaulatkan Melayu. Tetapi bila dipinjamkam kuasa dan mempunyai peluang untuk mentadbir, lain pula jadinya.

“Tidak ada satu dasar pun diumumkan atau diwujudkan dalam peranan asal jawatan itu yang mahu mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara Timur Tengah. Apatah lagi misi khas dunia Islam yang digembur-gemburkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa rakyat di Johor dapat menilai segala perkara ini termasuklah rekod pencapaian parti tersebut ketika menjadi kerajaan persekutuan.

“Justeru, saya yakin rakyat di Johor pun dapat menilai dan melihat perkara ini, bukan sahaja dalam bab Duta Khas bertaraf Menteri ini, tetapi juga rekod pencapaian parti yang diterajui pemimpin ini ketika menjadi kerajaan persekutuan tempoh hari.

“Saya juga ingin menegaskan dan mengingatkan parti ini, tak usahlah bawa naratif syurga dan neraka, dosa dan pahala, Islam dan kafir di Negeri Johor.

“Bukan parti politik yang menentukan Islamnya seseorang. Bukan parti politik yang menghukum berdosa atau tidak seseorang. Bukan parti politik yang mengadili ke syurga atau neraka seseorang itu,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.