Keserasian PH-BN Lebih Terserlah Di PRK Pulai, Simpang Jeram

JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Keserasian jentera Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dilihat menyerlah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, kata Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhamad Akmal berkata keserasian yang dipamerkan jentera PH-BN, khususnya komitmen daripada jentera Pemuda UMNO pada PRK Itu lebih mantap, berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, sekali gus menghentikan tomahan yang kononnya BN Johor menolak calon PH khususnya di Pulai iaitu Suhaizan Kaiat.

Beliau berkata Pemuda UMNO di semua peringkat cawangan di Pulai, bersolidariti menyokong Suhaizan yang mewakili gabungan PH-BN dan memastikan kerusi itu kekal milik PH.

“Walapun pertama kali BN tidak bertanding di kerusi Pulai, atas semangat perpaduan kita (PH-BN) kita bersama-sama bersolidariti menyokong calon PH.

“Keserasian antara jentera juga saban hari semakin bertambah baik dan momentum ini, akan berterusan sehingga 9 Sept (hari mengundi) ini,” katanya kepada pemberita pada sesi ceramah kelompok yang turut dihadiri Suhaizan di Taman Cempaka, Kempas di sini malam tadi.

Dr Muhamad Akmal berkata di peringkat akar umbi BN pula, jentera serta kepimpian parti akan terus memberi penjelasan, agar kefahaman mengenai kerjasama gabungan Kerajaan Perpaduan, dapat diperkukuh dan diterjemahkan dalam bentuk undi memenangkan calon PH.

Pada PRK Parlimen Pulai Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar di dua kerusi jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.