Laungan ‘Perpaduan’, ‘Malaysia Madani’ Hiasi Suasana Penamaan Calon PRK Parlimen Pulai
JOHOR BAHRU, 26 Ogos – Laungan ‘Perpaduan’, ‘Malaysia Madani’ meriahkan suasana proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini apabila penyokong yang mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat silih berganti melaungkan slogan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu antara pemimpin tertinggi rakan-rakan parti di dalam kerajaan perpaduan yang turut sama meriahkan suasana pada penamaan hari ini.
Ahmad Zahid yang tiba kira-kira 8.30 pagi di perkarangan Majlis Bandaraya Johor Bahru disambut meriah dan terus mengiringi Suhaizan Kaiat bersama pimpinan BN serta rakan-rakan parti kerajaan lain ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim yang menjadi pusat penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai.
Turut mengiringi calon,Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO, Datuk Johari Ghani, Ketua UMNO Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta beberapa pemimpin Kerajaan Perpaduan.
Sepanjang perarakan, kelihatan penyokong BN dan PH memakai baju parti masing-masing sambil mengibarkan bendera dan laungan kata-kata semangat yang lain.
Suhaizan tiba di pusat penamaan calon pada 8.45 pagi dan kemudiannya diikuti calon-calon yang lain.
Selesai proses penamaan, calon PH Suhaizan Kaiat berdepan Zulkifli Jaafar daripada PN dan Samsudin Mohamad Fauzi (bebas).
Senarai calon diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian PRK Parlimen Pulai, Miswan Yunus.
PRK Parlimen Pulai diadakan setelah kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
SPR menetapkan hari ini proses penamaan calon manakala tarikh pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September depan.- UMNO Online