Sambut Merdeka Dengan Kesyukuran, Semangat Perpaduan dan Harmoni – Bibi Sharliza
KUALA LUMPUR, 1 Sept – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 semalam, Wanita UMNO Negeri Sembilan meluahkan harapan kepada rakyat Malaysia khususnya ahli parti untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang diperolehi negara.
Ketuanya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata kemerdekaan ini juga membawa signifikan tersendiri kerana sambutan pertama di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Saya mengucapkan Selamat Hari Merdeka di bawah Kerajaan Madani.
“Ini adalah kali pertama bersama menyambut dan harap kemerdekaan ini kita sambut dengan meriah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh berkata Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ini adalah demi kepentingan negara dan masa hadapan rakyat yang lebih baik.
“Sentiasa mengingatkan diri kita bahawa perpaduan yang kita bina ini adalah untuk kestabilan dan kemakmuran,” katanya.
Tema bagi sambutan Hari Kebangsaan Sambutan pada tahun ini adalah “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.
Ianya bertepatan dengan landskap sosiopolitik negara dan mengajak rakyat mengukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global
Sambutan Hari Malaysia juga turut sama menggunakan tema ini yang mempunyai maksud yang cukup bermakna untuk dihayati segenap lapisan rakyat. – UMNO Online