Wanita UMNO Seluruh Malaysia Berhimpun, Solidariti Pertahan Institusi Presiden
KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Wanita UMNO Malaysia hari ini menganjurkan ‘Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Mempertahankan Institusi’ sebagai simbolik sokongan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, ianya mengumpulkan kesemua kepimpinan dan akar umbi Wanita UMNO seluruh negara.
Majlis dimulakan dengan sesi perkongsian wakil dan ketua-ketua Wanita negeri mengambil bahagian dalam memberikan imput mereka membabitkan Institusi Presiden dan hala tuju Wanita UMNO.
Acara kemuncak adalah ucapan daripada Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad seterusnya mengambil tempat berbicara dari hati ke hati bersama Wanita berkenaan fungsi Intitusi Presiden yang memainkan peranan penting kepada keutuhan parti keramat ini.
Beliau pada ucapannya juga meluahkan penghargaan kepada Wanita UMNO yang memainkan peranan penting dalam mewakili parti keramat ini mendepani rakyat.
Katanya, perjuangan Wanita tidak pernah luntur sejak awal penubuhannya malah bertepatan dengan gelaran diberi sebagai tulang belakang parti.
Majlis tersebut juga menyaksikan kehadiran Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penghargaan beliau atas sokongan daripada Wanita.
Terdahulu, Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik turut sama hadir berucap dalam memberikan intipati beliau berkenaan perkongsian perjalanan BN dalam mendepani masa hadapan parti termasuk dengan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Seterusnya, mengakhiri himpunan ini Wanita UMNO mengambil tempat dengan melakukan bacaan ikrar yang diketuai oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari. – UMNO Online