Teruskan Tekad Perkukuh UMNO, Jangan Terperangkap Desakan Lemahkan Parti – Jamal

KOTA KINABALU, 23 Ogos – Ahli-ahli UMNO termasuklah kepimpinan semua peringkat hinggalah ke anggota akar umbi perlu terus fokus dalam tekad mengembalikan usaha memperkukuh parti dan tidak terperangkap dengan cabaran masa kini, kata Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi.

Katanya, pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini adalah cabaran yang amat besar kepada anggota parti dalam memastikan kesepakatan dan kesepaduan UMNO tidak tercalar termasuklah keyakinan terhadap kepimpinan parti dan institusi Presiden.

“Kita telah bersepakat, meyakini dan mempunyai tekad untuk memperkukuh UMNO, menyokong kepimpinan dan organisasi parti, bersatu, bersetia dan berkhidmat maka kita perlu hadapi apa-apa juga cabaran bersama-sama termasuklah menerima keputusan PRN lalu.

“Jangan mudah kita bertelagah dan bercakaran walaupun kita meraikan kesatuan dalam kepelbagaian idea. Cadangan atau desakan pihak tertentu untuk Presiden memikul tanggungjawab atas kemerosotan sokongan terhadap UMNO sewajarnya perlu ditolak apatah lagi kebanyakannya datang dari luar.

“UMNO mesti ada kemudi, ada nakhoda dan ada hala tuju maka kita keseluruhan anggota parti mesti terus bersepakat mendukung perjuangannya agar tidak mudah diruntuhkan apatah lagi oleh pihak yang lebih suka menangguk di air keruh khususnya pihak lawan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa UMNO Papar tetap teguh dengan pendirian berpaksikan Perlembagaan UMNO dan menyokong organisasi parti dengan terus mendukung kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Dalam keadaan beliau ditekan maka kitalah yang sepatutnya bersama-sama mendukung dan memperteguh kembali organisasi kepimpinan UMNO. Sewajarnya keputusan PRN lalu menjadikan anggota parti untuk menanamkan azam baharu iaitu memastikan UMNO bangkit dan menebus maruahnya dalam pilihan raya akan datang termasuklah Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk jangka masa pendek dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

“Perjuangan UMNO sudah lebih 70 tahun maka jangan kerana beberapa cabaran yang amat sukar sejak beberapa tahun ini maka kita putus asa sedangkan sewajarnya kita bangkit untuk semarakkan kembali perjuangan parti.

“Saya sendiri selaku Ketua UMNO Bahagian meneruskan tekad perjuangan UMNO dalam usaha turun padang kerana UMNO ini perlu sentiasa ada bersama masyarakat apatah lagi dalam keadaan kita perlu bangkit kembali seperti sekarang ini,” katanya.

Jelasnya, adalah menjadi tugas ahli-ahli UMNO untuk meneruskan usaha bagi memberikan kefahaman dan penghayatan kepada orang ramai berkaitan perjuangan ikhlas sebenar parti ini.

“Jika kita alah bermakna kita menyerah dan pihak lawan yang akan beroleh kemenangan maka kerana itu kita perlu segera bangkit dan teruskan gerak kerja dengan lebih jitu bagi mengembalikan UMNO yang kukuh dan teguh,” katanya lagi.

Terdahulu beliau bersama-sama Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah telah turun padang menyantuni masyarakat di Kampung Benoni, Kampung Pengalat Kecil dan Kampung Kinarut di sini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.