Masa Untuk Lihat Ke Depan, Tumpuan Pada PRK Dan Usah Saling Tuding-Menuding – Sharkar

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – “Ini adalah masa untuk kita sama-sama melihat ke depan khususnya dalam keadaan UMNO berdepan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK). Jadi tidak perlulah masing-masing membuat pelbagai kesimpulan sebaliknya kita sama-sama kukuhkan muafakat untuk parti terus bergerak ke depan,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Bagi beliau keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu bukanlah kesimpulan kepada segala-galanya namun semua pihak bukan sahaja perlu berlapang dada sebaliknya sama-sama menggalas amanah dan tanggungjawab untuk menguatkan parti berdepan apa jua gelombang serta cabaran.

“Pada saya kita perlu pandang ke depan apatah lagi dalam keadaan PRK yang menjelang tiba. PRK Parlimen Simpang Pulai, DUN (Dewan Undangan Negeri) Simpang Jeram serta Pelangai yang tentunya memerlukan sumbangan ahli dan pimpinan pelbagai peringkat.

“Tumpuan kita ke arah ini… fokus kita untuk melancarkan gerakan pada PRK ini nanti. Memang betul usaha perlu dibuat untuk kukuhkan lagi perjuangan hari ini selepas keputusan PRN yang lalu namun ianya bukanlah kesimpulan kepada segala-galanya,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah kesatuan dan muafakat dalam parti dituntut dalam menghadapi arus gelombang serta cabaran yang melanda dan bukannya masing-masing mencari kesalahan antara satu dengan yang lain.

Tegas beliau cukup-cukuplah mencari salah sesiapa malah senario terkini kebersamaan parti di dalam menunjangi Kerajaan Perpaduan perlu diperkukuh dengan usaha mencari kestabilan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kita semakin kurang mendapat sokongan orang Melayu… jika kita terus dalam keadaan sebegini dikhuatiri orang Melayu semakin tidak yakin untuk terus bersama di dalam perjuangan UMNO hari ini.

“Marilah kita sama-sama bulatkan tekad… bulatkan azam untuk bergerak ke depan dengan mengekalkan kestabilan bukan sahaja di dalam pemerintahan hari ini malah di dalam parti kita sendiri. Parti perlu stabil… parti perlu kuat untuk melangkah hayunan ke depan dan insya-Allah marilah kita sama-sama jayakan,” ujarnya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit