Mohd Zaidy Tekad Berkhidmat Sebaik-baiknya, Bawa Jeram Padang Seiring Kerajaan Pusat
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menzahirkan penghargaan kepada rakyat Jeram Padang yang amat dekat dengannya setelah diberikan mandat dan kepercayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Ini kerana katanya, rakyat di kawasan ini sudah dapat menerima Kerajaan Perpaduan yang berusaha memastikan kestabilan politik di tahap selesa.
“Terima kasih rakyat Jeram Padang dan insya-Allah saya akan berkhidmat sebaik-baiknya bagi memastikan kawasan ini berada di landasan yang betul, seiring, sehaluan dan bersama-sama membangun mengikuti kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.
“Saya tidak mahu ada seorang pun rakyat Jeram Padang ini tercicir mahupun ketinggalan. Yang utama menerapkan perpaduan dikalangan penduduk yang berbilang kaum demi kestabilan dan kemakmuran.
“Kita akan menjaga rakyat Jeram Padang untuk keperluan semasa dan menambah baik demi masa hadapan penduduk dan seterusnya menjadi imej perpaduan demi kebaikan penduduk sini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Tambah Mohd Zaidy, rakyat Jeram Padang semakin bijak menilai dan mahu mengekalkan kerajaan negeri seiring dan memilih bersama-sama dengan pusat.
“Pengundi Jeram Padang bijak mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRN baru-baru ini dan mereka yakin banyak kelebihan serta manfaat berada di bawah naungan Kerajaan Perpaduan antaranya mudah untuk Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berurusan secara terus dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malah segala permasalahan yang dihadapi oleh negeri tu akan segera diselesaikan kerana berada dalam gabungan yang sama. Ini kerana negeri-negeri ini banyak bergantung kepada kerajaan pusat terutamanya dari segi peruntukan dan sebagainya.”
Katanya lagi, semua negeri bergantung kepada kerajaan persekutuan dan percaya sudah tentu akan diberikan keutamaan kepada negeri yang sehaluan dengan kerajaan pusat.
Terdahulu pada PRN lalu Mohd Zaidy memenangi DUN Jeram Padang dengan 5,462 undi menewaskan Datuk Seri Surash Sreenivasan dari Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online