Perbezaan Pandangan Dirai, Semangat Ukhuwah Kekeluargaan UMNO Jadi Pegangan Utama

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perbezaan pandangan adalah kebiasaan selagi mana ianya membawa manfaat kepada masa hadapan parti.

Jelas beliau, namun ianya perlu dilakukan berlandaskan semangat ukhuwah kekeluargaan UMNO yang menjadi pegangan utama parti keramat ini.

“Berbeza pandangan tidak mengapa kerana akhirnya apa yang hendak kita bincang, capai dan tuju bersama.

“Sebab idea-idea Pemuda ini jangan kita kesampingkan kerana mereka mempunyai kesedaran idea waktu ini mereka penuh dengan idealisme.

“Dan kita ingin membina idelisme ini tapi dalam masa yang sama bina atas semangat muhasabah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Post-mortem Pilihan Raya Enam Negeri Pemuda UMNO Malaysia, yang diadakan di International Youth Centre, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh; Naib, Mohd Hairi Mad Shah dan ketua-ketua Pemuda seluruh negara.

Zambry yang juga Menteri Luar dalam pada itu meluahkan penghargaan dengan semangat yang ditunjukkan oleh akar umbi Pemuda yang memberikan palbagai perkongsian mereka membabitkan cabaran dihadapi parti pada ketika ini.

“Paling mustahak adalah kesediaan mendengar, bukan hanya di bawah tetapi di atas pun kena bersedia.

“Sebab itu saya mencatat semua kerana setiap yang dilontarkan mempunyai makna yang tersendiri disampaikan kepada kita untuk pemimpin dengar.

“Itulah yang menjadi tanggungjawab kita semua, saya harap kita dapat bimbing bersama yang akhirnya kumpul untuk mara ke hadapan,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit