Sifir Apa Dia Pakai? Ahmad Maslan Bidas Muhyiddin
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mempertikaikan tindakan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa perdana menteri dan timbalan perdana menteri letak jawatan.
Kata Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Johor itu, selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), negara kini ditadbir di bawah parti-parti Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang.
Malah tambah Ahmad lagi, daripada 14 negeri yang ada di negara ini tiada satu negeri pun yang wakil PPBM menjadi menteri besar atau ketua menteri.
“…tiba-tiba Presiden PPBM/Pengerusi PN minta perdana menteri dan timbalan perdana menteri letak jawatan? Dan Kerajaan Perpaduan tetap 148 kerusi.
“Sifir apa dia pakai?” soalnya di Twitter.
Sabtu lalu, Muhyiddin dalam satu sidang medianya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan ekoran keputusan PRN bagi enam negeri.
Enam negeri terbabit adalah Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
Keputusan PRN tersebut memperlihatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu menteri besarnya dari Pas manakala Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dari Pakatan Harapan (PH).
Untuk rekod, pacsa PRU15 pada November tahun lalu dan PRN Sabah, Melaka dan Johor sebelumnya meletakkan negeri Perak, Pahang, Melaka dan Johor diketuai oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Perlis dari Pas serta PH di Wilayah Persekutuan.
Sarawak pula diketuai oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah. – UMNO ONLINE