UMNO Perlu Bangkit, Demi Kelangsungan Masa Hadapan Parti – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berpandangan strategi baharu perlu digapai demi kelangsungan masa hadapan parti.

Jelas beliau, ia perlu dilakukan bagi memberikan impak berterusan kepada perjuangan parti yang bukan sekadar mengejar jangka masa pendek.

“Hakikat ini harus diamati terutamanya oleh pemimpin UMNO di Selangor. Jika keputusan PRN (Pilihan Raya Negeri) ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.

“Atas dasar itu saya berharap kepimpinan parti perlu bangkit dan memperbetulkan keadaan parti yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek tetapi usaha yang bersungguh untuk kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi parti. Ini penting untuk masa hadapan dan survival parti terutamanya di Selangor.

“Semua di dalam UMNO, termasuk saya perlu muhasabah diri dan membina semula kekuatan parti supaya kita dapat kembali berdiri gagah tanpa bergantung kepada mana-mana parti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata secara hakikatnya, ia tidak mampu menutup hakikat pedih bahawa prestasi Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan tidak memuaskan terutama di Selangor.

“Sebagai seorang yang turun ke lapangan membantu calon BN dan Pakatan Harapan (PH) khususnya di negeri Selangor, saya juga berterima kasih kepada pengundi Selangor kerana mengekalkan mandat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menerajui Selangor Darul Ehsan untuk lima tahun lagi.

“Namun, dari 12 kerusi yang ditandingi BN, yang menang hanyalah dua termasuk satu yang asalnya ialah kerusi Dap. Malah, selain satu kes unik Sungai Air Tawar yang lebih mencerminkan kehebatan calon, PRN Selangor semalam menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah UMNO hendak menang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata UMNO Selangor juga perlu kembali mengenal pasti segmen yang perlu mereka dekati untuk diberi keutamaan dalam perjuangan UMNO.

“Di Selangor, setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak. Ramai ahli UMNO Selangor yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka dengan nasib UMNO di Selangor.

“Dalam senario politik kini, strategi, keterampilan dan daya tarikan parti menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.

“UMNO bukan milik kelompok mana-mana. UMNO ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, atas sebab itu UMNO tidak boleh terlalu radikal. UMNO perlu meraikan pandangan dan pandangan ini perlu diurus dengan baik agar UMNO terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.

“Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit