Zahid Persoalkan Janji Manifesto PH Satu Juta Peluang Pekerjaan Di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 4 Dis – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menimbulkan persoalan di Parlimen berhubung manifesto di dalam buku Harapan mengenai peluang pekerjaan dan gaji yang dijanjikan.
Menerusi soalan tambahan pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bertanya apakah yang dijanjikan itu sekadar di atas kertas sahaja.
“Dalam buku Harapan terkandung iltizam satu yang menyebutkan hasrat untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500.
“Adakah janji itu hanya sekadar di atas kertas sahaja atau hanya gimik kosong kerana janji-janji berkenaan bukan dari kitab suci,” katanya.
Terdahulu dalam soalan asal Ahmad Zahid meminta Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kerajaan bagi mengatasi masalah pengangguran di negara ini terutama yang melibatkan pelajar lepasan universiti tempatan dan luar negara serta apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah pemberhentian pekerja oleh syarikat-syarikat di negara ini.
Dalam hal itu, M.Kulasegaran memaklumkan bahawa hasrat meningkatkan gaji RM1,500 adalah dasar kerajaan.
“Bila kita menulis terma-terma di manifesto itu semestinya akan dilaksanakan, jangan teragak-agak ia tidak akan dilaksanakan.
“Meningkatkan gaji kepada RM1,500 adalah dasar kerajaan itu semestinya boleh dicapai dalam lima tahun dan itu usaha yang pertama dibuat dimana ditingkatkan gaji daripada RM1,000 kepada RM1,100 dan akan dilaksanakan pada 1 Januari 2019.
“Angka perkerjaan satu juta akan dapat kita capai dan pada masa ini masalah bukan di angka tersebut kerana yang menjadi masalah adalah ‘full employment’ yang dihadapi. Ini dimana peratusan yang tidak bekerja adalah 3.4 peratus dan usaha-usaha sedang dibuat supaya kita mendapat lebih tenaga yang boleh meningkatkan pendapatan di negara ini,” tambahnya lagi. – MediaUMNO