Rusuhan Kuil: Jangan Kaitkan Dengan Himpunan Bantah ICERD

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Semua pihak perlu melaksanakan peranan masing-masing dengan tidak mencurahkan minyak ke api melibatkan isu rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor sejak Isnin lalu.

Malah, kekecohan yang berlaku juga tidak wajar dikaitkan dengan himpunan besar-besaran membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadual pada 8 Disember depan.

Ketegasan itu disuarakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang turut yakin dengan keupayaan pihak berkuasa mengawal keadaan dan situasi tegang melibatkan rusuhan berkenaan.

Tiada kena mengena. (Himpunan bantah ICERD) tiada kaitan dengan rusuhan yang berlaku. Peristiwa itu melibatkan hal pelanggaran undang-undang.

“Namun begitu, penganjur himpunan juga perlu memikul tanggungjawab dengan tidak menjadikan himpunan berkenaan bersifat perkauman. Ia perlu diadakan dengan aman dan tenteram,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu cuba memanfaatkan ketegangan isu kuil di Subang Jaya itu untuk menghalang himpunan bantahan ICERD, 8 Disember depan. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.