Kastam Kelantan Rekod Kutip Hasil Hampir RM100 Juta Setakat Julai – Ahmad
JELI, 23 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merekodkan kutipan hasil sebanyak RM99,376,235.41 sejak Januari hingga 22 Julai, tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kutipan itu menghampiri sasaran tahun in iaitu sebanyak RM207.19 juta.
“JKDM Kelantan berjaya mematahkan 495 kes penyeludupan dengan nilai rampasan RM746,280.23 dan cukai RM136,067.41 bagi tempoh setengah tahun 2023.
“Penyeludupan rokok antara rampasan terbesar JKDM dengan nilai RM2,038,046.64 dan cukai terlibat sebanyak RM12,266,544.02 melibatkan 227 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Operasi JKDM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Bunga (ICQS) Bukit Bunga, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata bagi kes kedua tertinggi melibatkan rampasan beras sebanyak 118 kes dengan nilai RM87,136.45 dan cukainya sebanyak RM33,717.50.
“Komoditi lain yang dirampas seperti mercun, kenderaan, ayam beku, minyak petrol, minuman keras, minyak masak, dadah dan lain-lain.
“JKDM Kelantan telah berjaya melakukan tender kenderaan lucut hak bagi tahun 2023 sebanyak tiga kali dengan jumlah hasil yang berjaya diperoleh RM1,575,147.66 dengan jumlah kenderaan 158 buah,” katanya.
Katanya orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain- lain.
“Aktiviti penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya
– BERNAMA