HAWA Kibar Sayap Ke Sabah, Pastikan Aspirasi Parti Langkau Sempadan Politik – Rosnah
KOTA KINABALU, 13 Julai – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (HAWA) mengaktifkan gerak kerja dengan mengibarkan sayapnya ke Negeri Sabah sebagai usaha untuk memastikan aspirasi, misi dan visi bersama pelbagai pihak di negeri itu lancar.
Timbalan Pengerusi HAWA, Datuk Seri Rosnah Abdul Rasid Shirlin berkata, melalui Program Santai Mesra yang dilaksanakan baru-baru ini di sini, jalinan kerjasama dan perkongsian pengalaman dapat diaktifkan bagi pelaksanaan gerak kerja yang lebih mantap pada masa hadapan.
“Program ini telah dihadiri oleh barisan Pengerusi-pengerusi NGO (badan bukan kerajaan), Entrepreneurs dan individu-individu yang telah membawa kecemerlangan kepada organisasi masing-masing selain Pengerusi HAWA sendiri iaitu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan barisan ahli jawatankuasanya.
“Semoga program Santai Mesra ini menjadi program perintis untuk HAWA menyebarkan sayapnya di Negeri Sabah ini,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam masa yang sama, Rosnah turut menjelaskan pengaktifan gerak kerja HAWA ini membawa misi sebagaimana dihasratkan oleh kepimpinan UMNO ketika penubuhannya dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Mac lalu.
“HAWA ini ialah penghubung yang membawa suara rakyat kepada pihak yang bertanggung jawab, menjadi saluran kepada pihak berkuasa, pembuat dasar dalam mencari solusi dan mencari intervensi yang berkesan.
“Sebab itu amat mustahak untuk HAWA mengibarkan sayapnya ke seluruh negara, turun padang bersama masyarakat sivil, NGO dan lain-lain sebagai rakan seperjuangan bagi mendengar isu-isu yang memerlukan perjuangan,” katanya yang juga MKT UMNO.
Dalam kunjungan ke Sabah ini, delegasi HAWA juga berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“HAWA amat menghargai keprihatinan Datuk Seri Bung yang telah berkongsi idea serta nasihat dan teguran membina demi kelestarian HAWA.
“Beliau juga menyarankan agar HAWA menjadi sebuah majlis/pertubuhan yang berperanan sebagai mata, telinga dan suara rakyat. Insya-Allah HAWA akan memperkemaskan lagi gerak kerja, agar misi dan visi yang diperjuangkan dapat disampaikan dengan lebih mampan kepada golongan sasaran,” katanya lagi. – UMNO Online