Hanya Impikan Jawatan Perdana Menteri, Rakyat Perlu Didedah Sikap Sebenar PN
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berpandangan rakyat perlu didedahkan sebab utama Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas beliau ianya tiada kaitan dengan Dap sebaliknya berkenaan jawatan Perdana Menteri.
“Kenapa PN tidak mahu bekerjasama dengan PH? Kita kena tegaskan bahawa ini tiada langsung ada kaitan tentang Dap ini anti-Islam, Melayu.
“Sebab Pas, PPBM pernah bersama dengan Dap… ini realiti tetapi pada perjumpaan bersama Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba tiada kebijaksanaan Muhyiddin.
“Kerana Muhyiddin tidak boleh bezakan antara 73 kerusi yang dia ada dan 82 kerusi Anwar ada, mana lagi banyak sebab dia tak boleh beza.
“Kalau dia fikir dengan menggunakan otak yang waras ‘aku ni hanya 73 sahaja, tak kan aku nak jadi Perdana Menteri’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pentauliahan Penceramah Penerangan di Auditorium Menara Dato’ Onn, pagi tadi yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia berkata sekiranya YDPA memberi cadangan untuk Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sudah semestinya akan diterima oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.
“… dan kalau ketika itu YDPA memutuskan sebab Muhyiddin pernah jadi Perdana Menteri, Anwar pernah jadi timbalan Perdana Menteri sahaja. Walaupun Anwar lagi banyak kerusi… agak-agak anda dia (Muhyiddin) terima atau tidak jawatan Perdana Menteri itu? Sudah tentu terima.
“Ada atau tiada masalah untuk dia terima Dap? Tiada masalah kerana yang dia hendak adalah jawatan Perdana Menteri.
“Lagi pun dia sudah merasa nikmat menjadi Perdana Menteri. Dia tidak pedulikan pasal orang Melayu, Islam,” ujar beliau lagi. – UMNO Online