Biadap dan Tak Sensitif, Waytha Moorthy Menteri ‘Perpecahan’ Mesti letak Jawatan – Zahida


KUALA LUMPUR, 23 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy tidak layak memegang jawatan menteri apatah lagi dengan sikap biadap, tidak sensitif dan mengguris hati orang-orang Islam Melayu.

Demikian bidas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berhubung video yang tular berkaitan menteri terbabit.

“Waytha Moorthy tidak layak memegang jawatan menteri, dia mesti letak jawatan atau dipecat,” tegasnya.
Sehubungan itu, laporan polis oleh Puteri UMNO di seluruh negara dibuat berhubung perkara terbabit.

“Laporan polis ini dibuat terhadap kebiadapan Waytha Moorthy dalam video dan kata-katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya.

Semalam, semua Puteri UMNO bahagian di Wilayah Persekutuan telah membuat laporan polis berhubung isu berkaitan dan hari ini Puteri UMNO bahagian-bahagian di peringkat negeri menyusul berbuat demikian.

“Kita mohon pihak polis lakukan siasatan terhadap beliau di bawah Akta Hasutan,” katanya merujuk kepada video Waytha Moorthy yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
Baru-baru ini tular video yang dikatakan dirakam 10 tahun lalu ketika Waytha Moorthy menjadi pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf dengan memburuk-burukkan negara kepada negara luar iaitu menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah, menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum-kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum lain di Malaysia. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79