Dr Asyraf Tegaskan Keutamaan UMNO Jaga Islam, Bangsa, Bahasa dan Raja-Raja Melayu

KLANG, 5 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa apabila UMNO memutuskan untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan, tanggungjawab utamanya adalah menjaga Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu dan juga bahasa Melayu.

Katanya itu adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan.

“Yang paling penting tertubuhnya saja kerajaan kita buat satu perjanjian sembilan muka surat dan kita masukkan balik apa yang jadi perjuangan kita iaitu jangan sentuh bab Islam, jangan sentuh soal keistimewaan dan kedudukan bangsa Melayu, jangan sentuh hal Raja-Raja Melayu.

“Perjanjian ini kita namakan perjanjian persefahaman untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia… itu sebab kita sudah pun membuat ketetapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sesi dialog isu semasa anjuran UMNO Bahagian Kapar, Selasa malam.

Dalam isu berkaitan agama dan bangsa, beliau menggesa anggota UMNO agar menolak propaganda yang sengaja dimainkan oleh pihak lawan.

“Beritahu semua makcik, pakcik, kakak-kakak, abang-abang, adik-adik di bawah jangan dengar propaganda mengatakan Islam akan hancur, Islam akan terancam jika memilih kita kerana yang menghancurkan Islam adalah mereka (pihak lawan) sendiri, mereka membuat pelbagai fitnah dan menghodohkan imej Islam.

“Mereka kata, masuk Pas baru boleh masuk syurga seolah-olah dia pemegang kunci syurga dan neraka. Buat satu majlis doa semoga negeri ini kekal jangan ditawan oleh musuh-musuh Islam dan kita mereka anggap sebagai musuh Allah.

“Orang UMNO tak mempermainkan agama, kita tak permainkan dalil-dalil Allah, tak permainkan al-Quran dan faham amalan Islam. Kita macam mana pun jangan bersangka buruk, kalau benda tu salah adalah salah sedangkan pihak sana kalau mereka buat (rasuah pengundi) boleh pula kata sedekah.”

Dalam hal ini Dr Asyraf menekankan bahawa UMNO tetap berpegang kepada perkara yang salah adalah tetap salah dalam apa juga keadaan.

“Kita tak mahu menghalalkan perkara yang salah atau menjenamakan untuk melunakkan perkataan yang salah sedangkan mereka membuat tuduhan macam-macam terhadap UMNO.”

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Kapar, Mohd Roslee Abd Hamid; Ketua Wanita, Haiza Mariena Mat Ramli; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Noor Azman dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, A’inil Hawa Masfangi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit