PRN: Agihan Kerusi BN Dan PH Diumum Dua, Tiga Hari Lagi – Tok Mat

GEORGE TOWN, 4 Julai – Jawatankuasa Majlis Presiden Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan keputusan agihan kerusi antara kedua-dua blok bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan yang bakal diumumkan itu adalah muktamad dan menasihati semua pihak supaya akur dengan keputusan berkenaan.

“Apabila Majlis Presiden mengumumkan keputusan kelak, saya berharap semua pihak termasuk di peringkat negeri akur dengan keputusan itu. Kalau tidak, (maka) tiada kesudahan, nanti susah.

“Kalau tidak akur, akan ada perasaan tidak puas hari dan akhirnya kita tidak dapat menguruskan PRN dengan baik. Yang penting, kita nak menang,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang semalam.

Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, berkata beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan BN menghadapi PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ditanya sama ada gelombang Perikatan Nasional bakal memberikan cabaran kuat pada PRN nanti, beliau berkata BN dan PH akan memperkasakan diri serta membina benteng yang kuat.

“Gelombang Perikatan Nasional? Saya tak nampak apa gelombang cuma kita perlu perkasa diri sendiri. Kalau kita ada benteng yang kuat dengan gerak kerja yang baik, gelombang macam manapun kita boleh tolak semula ke belakang,” katanya. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit