Pas Terengganu Ibarat ‘Telunjuk Lurus, Kelingking Berkait’ – Ahmad Said
MARANG, 27 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan sikap Pas di negeri itu seperti ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’.
Jelasnya, pelbagai kekejaman yang dilakukan oleh Pas semasa pemerintahan mereka bermula sejak tahun 1999.
“Kita lihat tadi apa kekejaman yang dilakukan oleh Pas. Bermula pada tahun 1999 dahulu, tadika ditutup, mesin jahit kita dirampas. Tidak tahu ianya pergi ke mana. Hari ini ‘claim’ apa semua yang kita buat, dia yang punya.
“Inilah sikap Pas, ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’. Kita lihat sendiri apa yang Pas lakukan sejak lima tahun lalu di Terengganu. Orang yang paling patut kecewa ialah orang Marang sebab apa, dua kali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Marang jadi menteri besar.
“Apa yang rakyat Marang dapat? Masjid pun UMNO/Barisan Nasional (BN) yang buat. Dia tu siapkan sahaja. Tapak McDonald’s saya yang tambun nak buat masjid daerah baharu Marang. Tiba-tiba buat McDonald’s. Saya yang rancang, buat dan beri peruntukan. Hebat pemikiran pemimpin Pas Marang,” katanya ketika memberi ucapan perasmian Program Gelombang Biru 2.0 pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahmad juga berharap agar bapa-bapa angkat sempena PRN ini dapat membantu menawan semula Terengganu kerana negeri tersebut masih mempunyai harapan untuk menang.
“Saya minta, cukup sampai di sini sahaja. Sekali lagi saya harap kepada bapa-bapa angkat kita Pahang dan Johor ini sama-sama membantu kita.
“Saya dah beritahu Presiden baru-baru ini supaya kalau boleh di Terengganu ini biarlah satu DUN jaga satu DUN. Kalau tidak cukup, tambahlah DUN-DUN dari negeri lain sebab Terengganu masih punya harapan untuk menang. Insya-Allah,” katanya lagi.
Terengganu antara tiga negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan PRN tahun ini iaitu Kelantan, yang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jun, Kedah (28 Jun) manakala Terengganu masih berteki-teki mengenai tarikh sebenar pembubaran DUN.
Kedudukan terkini kerusi DUN Terengganu menyaksikan Pas memiliki 22 kerusi manakala UMNO/BN sepuluh kerusi. – UMNO Online