Bersama Berusaha, Kerja Keras Menangkan Kerusi Dipertandingkan Dalam PRN

TASEK GELUGOR, 4 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Mohd Noor Ahmad menyuarakan harapan pada ahli-ahli UMNO agar sentiasa berkerja keras dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, kerusi-kerusi yang bakal dipertandingkan oleh calon UMNO pada PRN ini adalah demi masa depan orang Melayu/Islam di Pulau Pinang.

“Kita harap ahli-ahli UMNO mesti berusaha memenangi kerusi yang bakal dipertandingkan demi masa depan orang Melayu Islam di Pulau Pinang. Akar umbinya perlu bersatu bagi memastikan dan beri kemenangan pada calon-calon UMNO pada PRN kali ini.

“Kita tidak mahu bertanding pada PRN kalah dan kemungkinan pada masa-masa mendatang tidak mempunyai peluang atau kerusi DUN bertanding di kawasan tersebut,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mohd Noor yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan menjelaskan kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan tergugat.

“Apabila UMNO berkerjasama dengan PH maka orang Melayu Islam tidak akan tergugat kerana parti berada di dalam kerajaan. Sekiranya duduk di luar akan jadi pembangkang dan lebih baik duduk di dalam serta membuat dasar bersama-sama dengan kerajaan PH dan ini lebih baik untuk rakyat Pulau Pinang.

“Pada PRN ini sekiranya UMNO menang di dalam kerusi DUN yang dipertandingkan dan berpeluang bersama-sama dalam kerajaan negeri maka boleh melihat dan memantau dari dalam,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama beliau membidas kenyataan pimpinan pembangkang yang memanipulasi sokongan UMNO terhadap penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Apabila UMNO bersama dengan Kerajaan Perpaduan, pembangkang hanya mainkan isu dengan Dap malah mereka (pembangkang) tidak memainkan gabungan 19 parti lain dalam kerajaan. 

“Sekiranya orang Melayu tidak bersama pada PRN ini maka Dap tetap menang. Sekarang ini pun mereka mempunyai 18 kerusi DUN dan bertanding di semua kawasan yang majoritinya adalah pengundi Cina. Sudah pasti mereka akan menang,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit