Tuntutan Sulu: Tiada Mekanisme Pengawasan Sebabkan Proses Timbang Tara Disalah Guna – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketiadaan mekanisme pengawasan dan kegagalan penimbang tara mematuhi standard etika dan profesional yang tegas telah menyebabkan proses timbang tara disalahgunakan untuk mengancam negara-negara berdaulat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata mekanisme pengawasan adalah penting untuk memastikan penimbang tara berpegang kepada standard etika yang ketat bagi mengelakkan sebarang kes penimbang tara ‘berat sebelah’ atau prasangka memandangkan mereka boleh dilantik oleh pihak yang terlibat dalam timbang tara.

Menjadikan kes tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia sebagai contoh, Azalina yang juga seorang pengamal undang-undang berkata perjalanan kes tersebut jelas mencerminkan bagaimana proses timbang tara boleh disalahgunakan dan terdedah kepada penyalahgunaan oleh pihak yang bertindak sebagai penimbang tara.

“Kes ini telah menimbulkan kebimbangan tentang tingkah laku etika, integriti, profesionalisme dan amalan baik oleh golongan penimbang tara, yang merupakan asas kepada proses timbang tara itu sendiri.

“Dalam kes Sulu, tiada elemen profesionalisme dan tingkah laku beretika yang mana proses timbang tara itu tidak dipersetujui kedua-dua pihak yang terlibat (penuntut dan Kerajaan Malaysia) dan perintah award telah dikeluarkan secara tidak sah yang mana penimbang tara itu sudah dibatalkan pelantikannya oleh Mahkamah Sepanyol, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, lapan individu mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu membuat tuntutan US$15 bilion terhadap Malaysia.

Bagaimanapun, keputusan anugerah akhir didakwa dikeluarkan secara tidak sah oleh seorang penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa kepada kumpulan yang menuntut itu walaupun pelantikannya sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh mahkamah Sepanyol.

Mengulas lanjut, Azalina berkata tiada negara berdaulat sepatutnya terperangkap oleh konspirator disebabkan oleh kegagalan penimbang tara dalam mematuhi standard etika yang ketat.

Ujarnya satu kod etika yang tegas bagi penimbang tara akan dapat menghapuskan mana-mana penimbang tara palsu yang berupaya melumpuhkan sebuah negara berdaulat.

Azalina berkata proses timbang tara pada hari ini juga terdedah kepada penyalahgunaan kerana proses timbang tara itu sendiri boleh dipindahkan.

Sebagai contoh katanya, sebelum keputusan di Sepanyol diperoleh, penimbang tara dalam kes Sulu memindahkan kes timbang tara ke Paris dan penuntut kemudiannya berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan dari perintah itu di negara seperti Belanda dan Luxembourg.

“Kita boleh buat kesimpulan, pihak yang membuat tuntutan boleh memindahkan proses ini ke negara-negara (yang mempunyai keanggotaan dalam Konvensyen New York 1958) mengikut pilihan mereka hingga dapat mencapai satu keputusan yang menguntungkan mereka.

“Mereka berupaya menggunakan taktik ini kerana menerima pembiayaan yang tinggi daripada dana litigasi dan pelabur yang menyokong usaha mereka, dengan harapan jika penuntut berjaya dalam proses timbang tara ini, mereka akan mendapat laba sebagai komisen dari perintah award itu. Usaha mereka ini boleh berterusan,” katanya.

Azalina berkata bagi Malaysia, tuntutan kumpulan yang mengaku sebagai waris kesultanan Sulu itu bukanlah pertikaian komersial sebaliknya satu tuntutan timbang tara palsu dan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara, apatah lagi setiap ringgit dan sen serta sumber yang digunakan bagi tujuan itu datang dari wang rakyat.

Beliau berkata ketika Malaysia terus mempertahankan kedaulatannya, usaha juga sedang dilakukan secara seiring untuk lebih memahami kes Sulu dan bagaimana proses timbang tara boleh diperbaiki untuk mengelak disalahgunakan, antaranya dengan penganjuran Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 yang akan berlangsung pada 4 Julai depan di Sabah dan di London pada akhir tahun ini.

Azalina berkata kolokium serupa yang diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu, berjaya menghimpunkan ahli akademik, peguam, ahli sejarah dan komuniti timbang tara antarabangsa yang berfungsi sebagai platform untuk mendorong perbincangan tentang kes Sulu.

“Melalui kolokium ini, saya berharap komuniti penimbang tara antarabangsa akan mengambil tindakan berkesan dan secara kolektif bagi mengekalkan kesucian proses serta amalan timbang tara.

“Mana-mana negara, sama ada kaya atau miskin, tidak seharusnya menjadi mangsa kepada timbang tara yang tidak berasas atau terperangkap melalui penyalahgunaan proses undang-undang, seperti dalam kes Sulu, yang dari awal lagi merupakan penyalahgunaan yang sistematik terhadap proses timbang tara,” katanya.

Azalina berkata kerajaan akan terus melaksanakan segala usaha bagi menamatkan tuntutan timbang tara Sulu yang turut menggunakan negara-negara lain bagi menguatkuasakan perintah award yang tidak sahih kerana kos pengendalian bagi perintah palsu ini akan memberi impak kewangan kepada negara dan wang rakyat.

Sebagai ahli undang-undang dan bekas peguam, saya menyokong usaha pengukuhan sistem timbang tara global dan menggesa pengawalan pembiayaan litigasi terutamanya dari sudut ketelusan dan pendedahan mengenai dana diperoleh,” katanya. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit