Agenda Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat Jadi Komponen Utama Kerajaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya usaha dan agenda peningkatan taraf hidup rakyat terutamanya masyarakat desa sentiasa menjadi komponen utama Kerajaan Perpaduan.

Kata Presiden UMNO itu dalam satu catatan di Facebook, ini dalam memastikan peningkatan kesejahteraan hidup dan pembangunan sosiokenomi negara secara keseluruhan.

Menurutnya lagi, Program Pembangunan Usahawan Orang Asli merupakan salah satu inisiatif yang diwujudkan untuk membantu usahawan Orang Asli meningkatkan sosioekonomi serta mengembangkan perniagaan mereka.

“Melalui program ini, usahawan Orang Asli boleh mengembangkan perniagaan mereka melalui bantuan geran yang berbentuk premis perniagaan, peralatan perniagaan (bersesuaian dengan bidang perniagaan yang diceburi seperti kedai runcit, kedai makan, kedai jahit, bengkel kenderaan, kafe siber, kedai kraftangan dan lain-lain) dan kursus.

“JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) turut melaksanakan program bimbingan seperti kursus, latihan serta pameran dan jualan produk bagi mempromosi produk keluaran usahawan Orang Asli. Pada tahun 2020, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi program ini,” tambah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.

Manakala jelas Ahmad Zahid lagi, Program Bantuan Geran Kepada Koperasi Orang Asli juga telah diwujudkan.

“…untuk membantu koperasi Orang Asli melalui sumber kewangan dalam memperkukuhkan fungsi sedia ada dan memperluaskan fungsi koperasi ke bidang-bidang strategik yang baharu bagi program pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli.

“Sehingga kini, sebanyak 11 jenis kursus telah dilaksanakan oleh Unit Pembangunan Usahawan JAKOA yang telah disertai oleh usahawan dan ahli lembaga koperasi Orang Asli,” katanya. – UMNO ONLINE

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.