IKR Mudahkan Rakyat Peroleh Peruntukan Tambah Baik Infrastruktur Awam – Rais
MELAKA, 22 Jun – Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) berjumlah RM500 juta diumum Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini, merupakan satu inisiatif yang baik bagi mempermudah rakyat mendapatkan peruntukan untuk menambah baik infrastruktur kecil awam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin berkata selain itu, IKR juga menunjukkan tiada jurang bagi rakyat dan kerajaan mendapatkan peruntukan yang diperlukan tanpa proses rumit.
Beliau berkata peruntukan IKR berkenaan amat dialu-alukan kerajaan negeri kerana ia dapat membantu menambah baik kemudahan awam sekali gus memberi keselesaan kepada rakyat serta memperkukuh hubungan antara rakyat dengan kerajaan.
“Saya dimaklumkan permohonan peruntukan IKR ini boleh dibuat terus oleh rakyat dan projek yang dimohon akan dilaksanakan badan pelaksana terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.
“Tetapi saya belum jelas tentang kaedah bagaimana IKR ini dilaksanakan di peringkat negeri nanti. Kalau rakyat boleh mohon peruntukan projek yang diperlukan dan ia dilaksanakan oleh PBT, ini adalah satu inisiatif yang sangat baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Hari Bertemu Rakyat di sini hari ini.
Pada Selasa, Rafizi mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta di bawah IKR sebagai satu daripada usaha membantu orang ramai melalui penambahbaikan infrastruktur kecil awam.
IKR membolehkan rakyat memaklumkan secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan kediaman masing-masing kepada Kementerian Ekonomi, dengan kos projek tidak melebihi RM200,000 melibatkan projek baharu, baik pulih projek atau naik taraf kemudahan asas awam seperti jalan, tandas, surau atau lif. – BERNAMA