Muktamadkan Kerusi PRN Masa Terdekat, Kedah Berdepan Pemimpin Lawan Narsistik – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 12 Jun – UMNO Kedah menyokong penuh kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memuktamadkan jumlah kerusi pada masa terdekat dan mendapat kerusi yang sepatutnya di negeri-negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya Negeri Kedah.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata demikian dan merakamkan rasa syukur dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang telah berakhir.

“Kami warga UMNO Kedah pulang ke negeri Jelapang Padi ini dengan jiwa membara, membawa misi dan semangat baharu menawan kembali hati orang Kedah.

“Adalah bukan mudah untuk menghadapi PRN Kedah kali ke-15 ini ekoran kami perlu berdepan seorang pemimpin ‘narsistik’ lawan yang kononnya bersifat ‘maksum’, bermulut celupar dan ‘rasa betoi semua’.

“Pun begitu, tidak mustahil bagi kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) Kedah untuk menawan kembali pentadbiran negeri ini sekiranya menggunakan strategi perang yang betul, termasuk memuktamadkan lebih awal tentang pembahagian kerusi dan BN mendapat kerusi yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Soal beliau, rakyat Kedah perlu kenal ‘kapten’ dan barisan kerajaan baharu yang bakal mentadbir negeri Kedah, bukan?

“Selain itu, saya amat bersetuju dengan iltizam beliau bagi mewujudkan Sekretariat Perpaduan Ilmu Malaysia melalui Majlis Ulama UMNO Malaysia bagi mengumpulkan ilmuan Islam dari parti dan pertubuhan-pertubuhan Ulama.”

Ini kerana katanya, Negeri Kedah memiliki ramai ilmuan dan ulama terkenal yang bersifat ‘non partisan’ untuk diketengahkan ke peringkat nasional.

“Lagi pun, rata-rata rakyat Kedah yang saya temui meluahkan rasa muak bosan dengan ‘ulama politik’ yang menimbulkan kebencian dan memecah-belahkan ummah di negeri ini.

“Saya juga menyambut baik cadangan Jelajah Usahawan Halal untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi merancakkan lagi pembangunan industri halal, termasuk di negeri Kedah.

“Untuk pengetahuan umum, negeri Jelapang Padi ini amat berpotensi untuk berperanan sebagai ‘Halal Hub Centre’ bagi keterjaminan makanan negara.”

Jelasnya, usaha melestarikan Kedah sebagai ‘Food Valley’ pernah dimulakan Kerajaan BN terdahulu, malah produk halal di negeri ini telah menembusi pasaran dunia seperti Jepun, Eropah dan negara maju lain.

“Namun setelah pentadbiran negeri diambil alih pihak lain, dasar katalis ini sangat ‘sendu’, seolah hidup segan mati tak mahu. Pun begitu, ianya tidak mematikan semangat ‘halal fighter’ di negeri Kedah ini seperti ‘Bismi’ dan banyak lagi usahawan makanan halal lain.

“Justeru, saya juga ingin menambah nilai cadangan tersebut untuk pihak kerajaan mewujudkan sebuah premis ‘Malaysia Halal Centre’ yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sejajar dengan matlamat merancakkan industri halal di zon utara semenanjung negara, termasuk menyaring import makanan halal dari negara jiran, Thailand.

“Akhir kata, saya amat berharap agar pelbagai dasar rasional yang lahir dari PAU 2023 dapat direalisasikan demi kepentingan ummah bersama. Usahlah terlalu dipedulikan ‘pemimpin kurang cerdik’ tersebut, sebaliknya majukanlah negeri Jelapang Padi ini mengikut acuan Malaysia Madani,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit