UMNO Papar Tekad Terus ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’, Semarak Perjuangan Agama, Bangsa, Negara

PAPAR, 10 April – Tekad bagi meneruskan perjuangan UMNO dan mengembalikan parti tersebut sebagai platform utama demi agama, bangsa dan negara perlu sentiasa disemarakkan.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi mengingatkan anggota parti khususnya barisan kepimpinan baharu pasca-Pemilihan UMNO agar kekal dalam prinsip perjuangan sebagaimana yang dituntut dalam usaha menyemarakkan kembali UMNO.

Beliau percaya, dengan suntikan semangat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turun padang dan menyantuni warga Sabah dalam siri ‘Santunan Kasih Ramadan’ baru-baru ini mampu memberi aspirasi kepada ahli parti.

“Perjuangan kita dalam UMNO hari ini bukan hanya untuk memperteguh parti kerana dalam masa yang sama kita mahukan negeri dan negara kita bebas dari pelbagai masalah khususnya dari sudut ekonomi, pembangunan dan mengembalikan kestabilan kaum dengan menerapkan perpaduan,” katanya kepada UMNO Online

Tegasnya, sebagaimana cogankata UMNO iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ maka parti ini perlu sentiasa menjadi yang utama dalam mengangkat teras perjuangan dalam kehidupan rakyat.

“Hakikatnya ramai yang masih berharap pada UMNO malah mahukan UMNO kembali sebagai pentadbir dalam kepimpinan politik negara hinggakan apabila saya sendiri tutun padang dan bersama anggota akar umbi, ramai yang memberi sokongan padu untuk UMNO kembali kuat.

“Sebab ini amat penting untuk kita mengaplikasi setiap masa dengan menerapkan aspirasi UMNO yang kini berketrampilan baharu selepas melalui pemilihan, termasuklah mengaplikasi Ramadan dan juga menjelang Syawal sebagai peluang meraih kembali sokongan rakyat.

“Biarpun kita semua fahami bahawa politik amat dinamik namun saya percaya dan yakin bahawa dengan semangat perpaduan yang tinggi maka kita akan dapat mendepani masa hadapan yang mencabar.

Katanya, jawatankuasa baharu yang dibentuk ini adalah pilihan perwakilan setelah melalui pemilihan dari peringkat akar umbi iaitu dari peringkat Cawangan, Bahagian dan peringkat Pusat.

“Sudah tentu mereka mengharapkan UMNO Papar dapat menyakinkan akar umbi bahawa UMNO akan tetap menjadi wadah perjuangan mereka.”

Terdahulu beliau bersama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Papar melunaskan tanggungjawab mengadakan mesyuarat dengan agenda utama ialah upacara mengangkat sumpah dan ikrar taat setia kepada parti, baru-baru ini.

Katanya, barisan kepimpinan yang merupakan gabungan AJK baharu dan lama ini adalah diharapkan dapat membantu menguatkan lagi UMNO Papar dan menyumbang kepada kesejahteraan negeri serta negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.