Kepimpinan UMNO Kekal Relevan, Pasca-Pemilihan Perkukuh Parti Depani Cabaran
Mesyuarat Perwakilan UMNO yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 18 Mac lepas berjalan lancar termasuklah di Sabah.
Tentunya dalam proses pemilihan ini, setiap anggota parti memahami dan menghormati prinsip demokrasi yang menjadi amalan sesebuah organisasi, malah yang paling penting ialah mematuhi peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh parti agar UMNO kekal relevan.
Ini kerana aplikasi pemilihan UMNO diangkat untuk dimanfaat sebagai parti pilihan rakyat dan bukannya atas kepentingan individu, apatah lagi persediaan jangka panjang perlu dibuat dari sekarang untuk mendepani apa-apa juga pilihan raya sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
Apa yang menarik perhatian dari perjalanan mesyuarat perwakilan di 25 bahagian di negeri Sabah apabila tidak ada satu pun usul yang mendesak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk berundur dari terus memimpin UMNO Sabah.
Sebelum ini berlaku kemelut politik di Sabah, namun perwakilan yang mewakili suara hampir 600 ribu ahli-ahli UMNO di seluruh bahagian di negeri ini tetap teguh bersama kepimpinan parti.
Terdahulu beberapa pemimpin parti enggan mematuhi keputusan UMNO Sabah untuk menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) malah sebaliknya bertindak menyertai gabungan tersebut hinggakan terdengar suara-suara sumbang yang mendesak Bung berundur dari memimpin UMNO Sabah.
Lebih dari itu, keadaan tersebut menular di kawasan Kinabatangan iaitu Bahagian yang Bung apabila ada anggota parti yang menyertai GRS biarpun bilangannya adalah kecil.
Media pihak lawan menganggap hal tersebut sebagai tsunami kepada UMNO Kinabatangan ekoran gembar-gembur yang diangkat dan diperbesarkan.
Namun semuanya meleset apabila UMNO bahagian Kinabatangan dapat melaksanakan persidangan dengan kehadiran lebih dari 1,000 orang perwakilan.
Lebih bermakna ahli parti jelas bersemangat meneruskan perjuangan UMNO dengan hadir menjayakan mesyuarat perwakilan bahagian Kinabatangan yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan pada 18 Mac 2023.
Apa yang jelas, isu desakan agar Bung berundur dari menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah tiada dalam agenda anggota parti sebaliknya ia diangkat oleh parti lawan di luar yang menggunakan pelbagai platform media sosial termasuk portal dalam talian atas niat buruk terhadap UMNO.
Tentunya mereka ini mempunyai tujuan untuk melemahkan semangat perjuangan UMNO/Barisan Nasional di Sabah.
Hakikatnya kepimpinan Bung sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah masih diperlukan oleh ahli-ahli UMNO di negeri ini dan ini diperkukuhkan lagi dengan keyakinan kepimpinan UMNO Pusat apabila Presiden parti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan pelantikan semula Bunguntuk jawatan terbabit.
Hal ini diumumkan pada mesyuarat pertama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas pemilihan 2023-2026 di Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Menara Dato’ Onn Kuala Lumpur pada 22 Mac lepas.
Bung Moktar berkata, lantikan semula itu adalah satu amanah besar yang perlu digalas bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO di Sabah.
Beliau turut menyarankan semua ahli UMNO untuk bersatu dalam sebuah keluarga besar bagi membolehkan UMNO meraih semula kepercayaan rakyat.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.
Antara pemimpin UMNO Sabah yang turut dilantik ke jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk Mohd. Asnol Ayub; Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dilantik sebagai Ketua Sektretariat Kelab UMNO Luar Negara; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dilantik menjadi Ketua Sekretariat Pertanian Perladangan dan Komoditi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan menjadi Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Sabah
Menyorot semula perjalanan mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian di Sabah yang diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac lepas, biarpun terdapat beberapa bahagian yang ‘terancat’ kerana ketidakteraturan perjalanan mesyuarat namun secara keseluruhan ianya dianggap lancar dan mematuhir Perlembagaan serta tataetika parti.
Berkaitan ketidaklancaran beberapa bahagian yang terganggu, ianya telah pun dilaporkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat untuk disiasat dan tindakan selanjutnya.
Aduan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan di bahagian telah dikemukakan agar tindakan susulan dapat diambil.
Apa-apa juga keputusan adalah termaktub kepada JPU yang memungkinkan bahagian atau sayap terlibat akan diminta untuk mengadakan mesyuarat pemilihan semula yang semuanya bergantung kepada keputusan siasatan.
Sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang, penuh pengalaman dan unggul berorganisasi, pastinya UMNO perlu mempamerkan imej serta pendekatan yang bijak. Usaha ini dilaksana bukan hanya untuk memenangi hati rakyat sebaliknya keluhuran dalam konsep kerja berpasukan dan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan perlu dihayati oleh pemimpin dan ahli UMNO di seluruh negara.
Selamat meneruskan perjuangan!
Oleh: Jaafar Wahid
***********************************