Pilihlah Pemimpin Yang Tekad Bersama UMNO, Angkat Perjuangan Parti – Sharifah Azizah

JOHOR BAHRU, 16 Mac – Para perwakilan UMNO akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah parti melalui pemilihan peringkat Bahagian dan Pusat yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zaid berkata, dengan mandat yang ada pada para perwakilan maka tentunya mereka akan menjalankan tanggungjawab yang tergalas dengan sebaiknya bagi memilih barisan kepimpinan untuk membantu Presiden dan Timbalan Presiden parti bagi memperkukuh UMNO.

“Inilah ruang dan peluang terbaik kepada ahli-ahli UMNO di akar umbi yang menjadi perwakilan apabila dapat menentukan barisan kepimpinan untuk membantu mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti politik yang kukuh dan dikagumi.

“Bukan itu saja, pemilihan ini adalah kesempatan terbaik kepada semua untuk melihat bagaimana suburnya UMNO berpegang kepada Perlembagaan parti, mematuhi etika persidangan dan menjunjung demokrasi apabila ahli-ahli bebas untuk menawarkan diri menjadi calon dan kemudian diundi atau dipilih oleh jumlah perwakilan yang amat besar di seluruh negara.

“Justeru, untuk para perwakilan pilihlah mereka yang benar-benar mampu menggalas tanggungjawab dan amanah bukan sahaja untuk UMNO tetapi yang pasti adalah perjuangan demi keseluruhan rakyat bagi mendaulatkan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga turut menawarkan diri dalam Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO dengan nombor calon lapan mengharapkan kematangan para perwakilan yang melibatkan seramai 160,000 orang dari seluruh negara.

“Kepada perwakilan, sudah tentu kematangan amat penting dalam membuat pilihan maka pilihlah yang terbaik dengan mengundi mereka yang benar-benar setia dan mampu berkhidmat untuk parti demi agama, bangsa dan negara.

“Pilihlah pemimpin yang kental bagi mendepani cabaran semasa yang sangat dinamik, pilih mereka yang tidak mempunyai perasaan dendam dan tolaklah mana-mana yang hanya pentingkan diri atau peribadi dan sanggup jadikan parti mangsa dengan mengamalkan budaya sabotaj parti malah menggunakan wang parti untuk agenda tertentu,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah atas lancarnya Pemilihan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO yang selesai dilaksana Sabtu lalu.

“Salam tahniah kepada kepimpinan Wanita yang kekal diterajui Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kepimpinan baharu bagi Pemuda iaitu Dr Mohamad Akmal Salleh dan Puteri pula Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

“Tahniah juga kepada mereka yang terpilih sama ada di peringkat Pusat atau Bahagian. Semoga semua yang mendapat tempat hasil dari undian para perwakilan akan dapat meneruskan kesinambungan perjuangan mendukung amanah parti demi agama, bangsa dan negara.

”Apa yang penting, jadilah pemimpin yang berprinsip dan kembalikanlah kegemilangan UMNO.”

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.