Pelbagai Medium Warnai Kempen PRU15 Di Rembau
REMBAU, 6 Nov – Tempoh berkempen yang bermula sejurus selesai penamaan calon semalam membolehkan calon-calon yang bertanding mewakili parti politik mula bergerak dalam usaha meyakinkan masyarakat setempat untuk membuat pilihan tepat pada hari pembuangan undi nanti.
Begitu juga di Parlimen Rembau apabila calon Barisan Nasional (BN) yang disahkan pencalonannya semalam, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama jenteranya bergerak bertemu pengundi melalui pelbagai medium.
Gerak kempen secara bersemuka, kempen menerusi media sosial dan juga papan-papan iklan mula dinaikkan di beberapa kawasan strategik sekitar Parlimen Rembau.
Petang semalam, pasar malam di Bandar Seremban Selatan menjadi lokasi kempen bersemuka apabila Mohamad atau lebih dikenali dengan Tok Mat bersama jenteranya bertemu pengunjung pasar malam berkenaan.
Pengedaran flyers calon dan pelbagai bentuk lain diberikan kepada pengunjung yang mengunjungi pasar malam tersebut selain para peniaga.
Pada sebelah malam pula kempen santai diteruskan di Dataran Senawang apabila Tok Mat beramah mesra dengan masyarakat setempat di Kedai Lempeng Limet.
Rata-rata mereka menyambut baik kehadiran calon BN untuk kawasan tersebut dan pelbagai ungkapan diungkapkan oleh mereka yang ada di sekitar dengan harapan Tok Mat memperoleh kejayaan demi Parlimen Rembau. – UMNO Online