Tragedi Lori Balak: Suhaimi Nasir Desak Siasatan Telus

SANDAKAN, 15 Okt – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori balak di Batu 27, Sandakan, yang mengorbankan seorang wanita dan mencederakan beberapa individu lain.

Dalam kejadian itu, lori balak berkenaan dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori pembawa barang, beberapa kenderaan yang diparkir serta sebuah gerai di tepi jalan. Wanita yang berniaga di gerai berkenaan dilaporkan meninggal dunia di Klinik Ulu Dusun, manakala beberapa mangsa lain menerima rawatan, termasuk di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Suhaimi berkata, tragedi itu menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan penguatkuasaan terhadap lori balak yang menggunakan jalan raya awam, terutama dari aspek keselamatan kenderaan, pematuhan had muatan dan kelayakan pemandu.

Beliau mempersoalkan sama ada pemeriksaan dan pemantauan terhadap operasi lori balak dilaksanakan secara konsisten, termasuk pematuhan terhadap sebarang sekatan waktu operasi atau syarat perjalanan yang berkuat kuasa di kawasan berkenaan.

“Bagaimana lori balak boleh beroperasi di jalan raya ketika orang ramai sedang menjalankan urusan harian, berniaga dan mencari rezeki? Persoalan ini perlu dijawab berdasarkan fakta dan hasil siasatan.

“Penguatkuasaan sepatutnya berfungsi untuk mencegah tragedi, bukannya sekadar bertindak selepas nyawa terkorban,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menggariskan lima tindakan yang perlu diberi perhatian, iaitu menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan, menyiasat pematuhan waktu operasi lori balak, mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, memperketat pemeriksaan kenderaan berat serta menilai semula keselamatan laluan berisiko.

Suhaimi turut membangkitkan dakwaan saksi bahawa pemandu lori balak berkenaan meninggalkan lokasi kejadian dan menggesa pihak polis mengesahkan perkara itu melalui siasatan segera.

Menurutnya, sebarang tindakan perlu dibuat berdasarkan bukti dan undang-undang, tanpa membuat kesimpulan awal sebelum siasatan selesai.

Beliau turut menggesa pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi berkaitan memberikan perhatian serius terhadap insiden itu serta memastikan langkah pencegahan dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Peniaga kecil yang keluar mencari rezeki tidak sepatutnya terpaksa menanggung risiko akibat kelemahan yang boleh dicegah. Keluarga mangsa berhak mendapat penjelasan, manakala masyarakat berhak mengetahui tindakan yang diambil.

“Nyawa rakyat mesti menjadi keutamaan. Penguatkuasaan tidak boleh bersifat bermusim dan keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan. Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk kita mula bertindak,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO