PRU15: Saya Tidak Gusar Dengan Azmin Dan Amirudin – Megat Zulkarnain


KUALA LUMPUR, 4 Nov – Meskipun calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bakal berdepan dengan dua nama besar dari pihak lawan bagi merebut kerusi di kawasan tersebut, ianya nyata tidak menimbulkan kegusaran buat beliau.

Jelasnya, persediaan yang dilakukan oleh UMNO/BN Gombak telah bermula sejak sekian lama bagi menyantuni penduduk setempat dengan memfokuskan kepada mengembalikan kepercayaan rakyat.

 

“Saya menyedari bahawa kerusi Parlimen Gombak ini adalah kerusi tumpuan yang dinanti-nantikan kerana kita telah dimaklumkan ada dua calon yang menawarkan diri. Satu ialah penyandang yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kedua Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Namun itu tidak langsung memberikan kegusaran buat kami kerana UMNO/BN Gombak have well prepared sejak 2018. Our focus very direct iaitu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu turut memahami kekecewaan rakyat apabila harapan mereka untuk melihat perubahan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, dihancurkan begitu sahaja.

“Kita faham keputusan yang dibuat pada PRU ke-14 adalah berdasarkan sentimen rakyat pada waktu itu yang tertarik dengan tawaran dan perubahan yang kononnya mereka bawa. But unfortunately, bukan hanya rakyat Gombak, malahan the people of Malaysia been cheated.

“Sebab itu kami telah mengurus parti ini dengan baik. Segala perkhidmatan telah kami berikan kepada rakyat Gombak dan saya percaya pada kali ini mereka akan membuat keputusan yang bijaksana,” katanya lagi.

Menurut Megat Zulkarnain, fokus utama UMNO/BN Gombak adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat dan beliau tidak menghiraukan pertikaman lidah yang berlaku di antara kedua-dua calon di kawasan tersebut.

“Hari ini kita dapat lihat dua calon sedang bertikam lidah antara satu sama lain. Mereka sedang berperang di setiap pentas ceramah dan pada kami biarlah mereka berdua berperang sesama sendiri.

“Fokus kami jelas, adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Gombak bagi mewujudkan kemakmuran dan yang paling penting, memacu kestabilan politik dalam negara.

“Kami tidak mahu undi rakyat ini digunakan untuk membalas dendam antara satu sama lain. Mereka sedang menggunakan undi rakyat untuk melihat musuh-musuh atau pengkhianat di kalangan mereka ini dihapuskan dari pentas politik. Kita tidak begitu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain turut mengharapkan rakyat Gombak memberikan kepercayaan kepada UMNO/BN dengan tawaran yang telah disediakan untuk mereka.

“UMNO/BN fokus akan memberikan yang terbaik buat rakyat Gombak. Kita tahu selepas tiga penggal, tidak ada apa yang dapat kita banggakan.

“Kami UMNO/BN memberikan tawaran yang sebaik-baiknya buat rakyat Gombak dan kami memohon dengan rendah diri supaya pada kali ini berilah sekali kepercayaan dan lihat apa yang kami boleh berikan kepada rakyat Gombak,” katanya lagi.

Kerusi Parlimen Gombak merupakan antara kerusi panas pada PRU kali ini, mempertemukan penyandang yang telah mempertahankan kedudukan beliau di kawasan tersebut selama 14 tahun, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor pada ketika ini, Amirudin Shari bersama calon BN, Megat Zulkarnain.

Persaingan sengit tiga penjuru ini bakal memperlihatkan sama ada penyandang dapat mempertahankan kedudukannya ataupun dirampas semula oleh UMNO/BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.