Nasib Baik Cuma 22 Bulan… Jika Lebih Panjang, Nescaya Malaysia Semakin Rosak – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Meskipun Pakatan Harapan (PH) memerintah hanya selama 22 bulan, namun segelintir rakyat berpendapat bahawa lebih panjang tempoh mereka memerintah, lebih banyak kerosakan bakal dilakukan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai kerosakan yang telah dilakukan oleh PH sehingga mengakibatkan banyak kesan yang berlarutan sehingga ke hari ini.
“Satu-satunya alasan PH mampu kemukakan konon tempoh 22 bulan tidak cukup panjang untuk jadi kerajaan. Rakyat masa kini yang bijaksana berpendapat sebaliknya.
“Nasib baik PH cuma mentadbir 22 bulan. Jika lebih panjang, nescaya Malaysia semakin rosak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menyenaraikan beberapa kerosakan yang telah dilakukan oleh PH. Antaranya:
– Melantik peguam Setiausaha Agung DAP sebagai Peguam Negara.
– Melantik aktivis PKR sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
– Menteri Kewangannya membuat kenyataan rasmi berbaur politik sehingga menjejaskan pasaran saham.
– Perdana Menterinya membuat kenyataan yang menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi Malaysia.
– Perkembangan ekonomi jadi paling perlahan sejak suku ketiga 2009. Masa itu Covid-19 belum menular.
– Kebajikan rakyat dikurangkan termasuk bantuan tunai dengan pelbagai alasan seperti
‘BN memanjakan rakyat. Rakyat tidak patut rasa berhak mendapat wang tanpa melakukan sebarang kerja’.
– Tidak hantar wakil bela Malaysia dalam isu tuntutan waris kesultanan Sulu, malah menulis surat ‘mengaku salah’.
– Malaysia terlepas kedaulatan Pulau Batu Puteh apabila PH menarik balik semakan penghakiman.
– PH menjual aset-aset negara dengan alasan pembaziran, tetapi hutang negara terus meningkat.
– Projek-projek infrastruktur untuk rakyat diganggu-gugat dan ‘difaraidkan’ antara kroni.
Katanya, terlalu panjang senarai kerosakan yang PH lakukan selama memerintah negara dan turut meminta rakyat agar berhati-hati untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Jika mahu diungkapkan satu-persatu di sini tentu tersangat panjang senarainya. Kesimpulannya mudah sahaja, pasti semua masih ingat petikan sebuah ceramah sebelum PRU ke-14; dalam lima jam macam-macam orang boleh buat apatah lagi lima tahun. Jangan main-main tuan-tuan dengan lima tahun.
“Benda lain kita boleh cuba lima kali setahun. Bab kuasa (pentadbiran negara) kita tidak boleh main-main,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan rakyat untuk tidak membiarkan mereka menganggap rakyat naif serta mudah untuk masuk ke perangkap yang sama.
“Jangan biarkan mereka fikir rakyat terlalu naif dan semudah itu untuk masuk ke perangkap yang sama.
“Yakini Barisan Nasional (BN) demi Malaysia bangkit untuk masa depan negara kembali cemerlang dan gemilang,” katanya lagi. – UMNO Online