Menolak Gejala Songsang, Ahmad Zahid Ucap Tahniah LPF Tegas Isu LGBT

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Presiden UMNO, Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia kerana bertindak tegas dengan mengarahkan dibuat pengubahan (potongan) bagi adegan dan disenyapkan (mute) dialog yang didapati mengandungi elemen mempromosi gaya hidup golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan kebelakangan ini timbul kontroversi mengenai filem animasi “Lightyear” yang menunjukkan dialog yang mempunyai elemen mempromosi gaya hidup LGBT.

“Siapa sahaja anak-anak kecil kita yang tidak suka dengan animasi dan karater Buzz Lightyear? Malah orang dewasa pun ada yang suka.

“Dalam dunia moden sekarang, gaya hidup dan pemikiran Barat yang melampau sedang giat dipromosikan pelbagai pihak. Mereka semakin berani menghidangkan hiburan bagi tontonan kanak-kanak tetapi pada masa sama disertakan juga dengan elemen mempromosi gaya hidup luar tabii,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Ujarnya, lebih merisaukan lagi, baru-baru ini, Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang mengizinkan perkahwinan sama jantina.

“Atas sebab itu, saban hari, para ibu bapa pula menjadi semakin resah dengan perubahan drastik teknologi semasa akan mengakibatkan pelbagai anasir ekstrem Barat mempengaruhi pemikiran anak-anak mereka, lebih-lebih lagi dukungan dan normalisasi secara terang-terangan gaya hidup LGBT

“Pihak Kerajaan, dengan sokongan NGO-NGO Islam dan badan-badan pemikir Islam, guru-guru agama dan institusi dakwah yang lain seharusnya memandang serius perkembangan ini. Saya yakin semua agama tradisi lain juga menolak LGBT.

“Saya mencadangkan agar dianjurkan satu muzakarah bagi mengumpulkan idea dan gerak kerja tersusun bagi membangunkan naratif balas atau ‘counter narrative’ terhadap usaha-usaha mempromosi gaya hidup dan pemikiran ekstrim Barat, terutama sekali LGBT dalam kalangan masyarakat Islam.”

Tegas Ahmad Zahid, aspek ini perlulah dilakukan segera dan berterusan dan kita janganlah mengalah.

“Pada masa yang sama peranan ibu bapa agen sosialisasi penting bagi memberikan pendidikan dan kesedaran awal kepada anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam LGBT,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit